KUALA LUMPUR: Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah menitahkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak mempertimbangkan secara terperinci mengenai aktiviti senaman yoga di negeri itu.
Raja Dr Nazrin, yang juga Yang diPertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, bertitah sebarang keputusan jawatankuasa fatwa negeri itu kemudiannya hendaklah dibawa kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, sebelum dipersembahkan kepada Sultan Perak Sultan Azlan Shah.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Samsul Baharin Hassan di sini hari ini, Raja Dr Nazrin bertitah lebih teratur jika sesuatu fatwa yang melibatkan orang ramai dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja terlebih dahulu memandangkan hal ehwal agama Islam berada di bawah bidang kuasa Raja.
"Ia adalah selaras dengan prosedur Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 berkaitan dengan menerima pakai sesuatu fatwa," titah baginda.
Sabtu lepas, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan amalan yoga secara sistematik iaitu yang membabitkan gerakan fizikal, bacaan mantera dan matlamat penyatuan diri dengan Tuhan, bertentangan dengan syariat Islam. BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment