KUALA LUMPUR, 16 Okt -- Kementerian Pelajaran sedang mengkaji kemungkinan memasukkan mata pelajaran Sejarah dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sekiranya mata pelajaran itu diajar bermula di peringkat Tahun 3 pada 2010.
Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Razali Ismail berkata perkara itu sedang dikaji dalam Transformasi Kurikulum Sekolah Rendah yang dijangka beroperasi sekitar 2010.
"Kita mengambil-kira saranan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahu mata pelajaran Sejarah diwajibkan di peringkat sekolah rendah bermula Tahun 3 sehingga Tingkatan 5.
"Sukatan pelajarannya akan ditentukan selepas perbincangan mendalam dilaksanakan membabitkan semua pihak dan mereka yang berminat seperti pemegang amanah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan guru-guru yang pakar," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.
Katanya, bagi memastikan pengajaran mata pelajaran itu dapat direalisasikan seperti yang dirancang, para guru bakal diberikan latihan secukupnya sebagai persediaan.
Beliau berkata unsur-unsur sejarah pula akan diterapkan melalui bidang Kemanusian dan bidang Bahasa bagi murid Tahun 1 dan 2.
Razali berkata, ketika ini kandungan sejarah di peringkat sekolah rendah terkandung dalam mata pelajaran Kajian Tempatan.
"Unsur sejarah diberikan pendedahan kepada murid sekolah bertujuan melahirkan murid yang berpengetahuan mengenai hubungan mereka dengan masyarakat, memahami dan menghargai sejarah negara," katanya.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment