NANNING (Guangxi, China) 17 Okt-- Malaysia dan China akan bekerjasama tidak lama lagi bagi meneroka usaha mengeluarkan berita niaga dan program bicarawara melalui televisyen yang akan ke udara di negara masing-masing.
Persefahaman itu dicapai berikutan perjumpaan dua hala di antara Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Menteri China bagi Pejabat Majlis Penerangan Negara, Wang Chen pada Khamis.
Ahmad Shabery, yang berada di sini bagi menghadiri persidangan sehari Menteri-menteri Penerangan ASEAN-China, membangkitkan cadangan kemungkinan mengadakan kerjasama dalam pengeluaran berita niaga di antara RTM dan stesen televisyen kendalian kerajaan di China.
Wang berkata cadangan itu boleh dilaksanakan sebaik pegawai kedua-dua belah pihak melaksanakan rangka kerja dari segi teknikal.
Katanya program berita niaga itu boleh disiarkan untuk tempoh setengah jam atau sejam untuk siaran setiap minggu.
Sebagai balasan, Wang juga mencadangkan supaya program bicarawara disiarkan ke udara dengan menjemput pakar kedua-dua negara bagi memberi pendapat berhubung perniagaan dan isu-isu semasa.
Ahmad Shabery berkata maklumbalas pantas daripada Wang menunjukkan kesediaan pegawai China untuk bekerjasqama bagi meningkatkan program media dan maklumat kedua-dua negara.
Ahmad Shabery dan Wang berkongsi pandangan bahawa ASEAN dan China perlu memajukan kepakaran sendiri bagi menghasilkan program sedemikian bagi memberikan lebih ruang bagi pandangan dari Asia untuk diperdengarkan.
Sebagai contoh, Wang berkata negara Asia juga mempunyai pandangan mereka sendiri berhubung krisis kewangan yang berlaku sekarang di Barat dan cara mereka menangani isu itu.
Kedua-dua menteri itu juga bersetuju bahawa lebih banyak program latihan, lawatan dan pertukaran idea diadakan di antara pertubuhan media dan juga pegawai kerajaan yang terbabit dalam penyebaran maklumat di kedua-dua negara itu.
Ahmad Shabery juga memanjangkan jemputan kepada Wang untuk melawat Malaysia mengikut waktu luangnya dan Wang membalasnya dengan menjemput rakan sejawatannya dari Malaysia itu untuk melawat Beijing tahun depan sempena perayaan ulangtahun ke-60 penubuhan China moden.
Secara kebetulan, Ahmad Shabery dan Wang merupakan hanya dua menteri yang bercakap mengenai potensi tsunami kewangan hasil daripada krisis kewangan dalam ucapan mereka.
Pada mesyuarat dua hala malam tadi, Ahmad Shabery dan Wang juga mendapati bhawa mereka berkongsi pandangan yang sama berhubung perkara itu selepas memegang jawatan baru sejak enam bulan lepas.
Sebelum ini, Ahmad Shabery merupakan Setiausaha Parlimen Kementerian Luar manakala Wang merupakan Presiden Harian Rakyat, satu daripada akhbar yang paling tinggi edarannya di China. Sebelum itu beliau merupakan menjadi Ketua Pengarang akhbar itu.
Sementara itu, Menteri-menteri Penerangan ASEAN dan China menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang bertujuan untuk menjalin kerjasama lebih luas dalam industri media dan maklumat.
Malaysia diwakili Ahmad Shabery manakala Wang menandatanganinya bagi pihak negara penganjur.
Menteri ASEAN lain yang turut menandatanganinya ialah Menteri Tenaga Brunei Pehin Dato Haji Mohammad, Menteri Penerangan Kemboja Khieu Kanharith, Menteri Komunikasi dan Teknologi Maklumat Indonesia Prof Dr Mohammah Nuh, Menteri Penerangan dan Kebudayaan Laos, Mounkeo Olaboune.
Menteri Penerangan Myanmar, Brig-Gen Kyaw Hsan, Menteri Agensi Penerangan Filipina Conrado A. Limcaoco, Jr, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kesenian Singapura, Dr Lee Boon Yang, Ketua Pengarah Jabatan Perhubungan Awam Thailand, Prachern Kamphoe, dan Menteri Penerangan dan Komunikasi Vietnam, Le Doan Hop.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment