KUALA LUMPUR, 16 Okt-- Peningkatan kos penyelenggaraan yang tidak mampu ditanggung Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menyebabkan insinerator mini di beberapa tempat PBT tidak lagi digunakan, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Hamzah Zainuddin.
Beliau berkata sejak 1996, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menyediakan kemudahan insinerator mini dari Switzerland di Pulau Langkawi, Pulau Pangkor, Pulau Tioman dan Labuan dengan kos RM12.4 juta.
"Semua insinerator mini itu telah diserahkan kepada PBT untuk merawat sisa pepejal tetapi sejak beberapa tahun lalu, insinerator itu tidak digunakan lagi kerana kos penyelenggaraannya yang tinggi dan tidak mampu ditanggung PBT berkenaan," katanya ketika menjawab soalan Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) yang ingin tahu jumlah insinerator yang dibeli serta kos pembelian dan penyelenggaraannya.
Memandangkan perkembangan itu, Hamzah berkata kementerian sedang membangunkan lima loji rawatan termal mini di Pulau Langkawi, Pulau Pangkor, Pulau Tioman, Cameron Highlands dan Labuan.
Beliau berkata pembinaan lima loji rawatan termal mini itu melibatkan kos keseluruhan RM187.7 juta bagi menggantikan insinerator mini yang sedia ada.
"Teknologi insinerator yang dicadangkan ini yang merupakan gabungan teknologi tempatan dan luar negara dinilai kesesuaiannya oleh Jawatankuasa Penilaian Teknologi.
"Kos operasi dan penyelenggaraan insinerator yang dicadangkan itu masih dalam peringkat perbincangan manakala projek itu dijangka siap pada tahun 2010," katanya.
Sementara itu, ketika menjawab soalan Datuk Dr James Dawos Mamit (BN-Mambong) mengenai kesesuaian tapak sanitary landfill di pulau-pulau kecil, Hamzah berkata ia akan dibina di tempat yang sesuai sahaja dan tidak boleh dibangunkan di kawasan yang mempunyai sungai berdekatan.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment