Pages

Monday, October 20, 2008

Eurocopter: Kenapa beli lebih mahal?


Brazil membeli helikopter Eurocopter EC-725 dengan harga yang lebih murah RM82 juta sebuah, sedangkan Malaysia bakal membayar dengan harga RM193 juta, kata Angkatan Muda PKR hari ini.

Dalam laporan polisnya, timbalan AMK Mohd Fariz Musa berkata perbezaan harga lebih sekali ganda itu harus dipertimbangkan untuk siasatan.

"Brazil telah menandatangani kontrak pembelian 50 buah helikopter Cougar yang bernilai US$1.2 bilion ataupun RM4 bilion. Manakala Malaysia pula telah menandatangani kontrak berjumlah RM2 bilion hanya untuk 12 buah helikopter Cougar," katanya dalam laporan itu yang dibuat di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur tengah hari ini.

Perbezaan harga antara dua negara ini bagi sebuah helikopter dengan model yang sama sebanyak RM111 juta atau RM1.2 bilion bagi kontrak membeli 12 buah unit, tambahnya.

"Persoalan timbul ialah ke mana perginya RM1.2 bilion ini dengan sewenang-wenangnya?" kata Mohd Fariz.

Kontroversi pembelian ini muncul selepas Mentari Services Sdn Bhd mempertikaikan tatacara perolehan helikopter tersebut minggu lalu dan isu yang sama dibangkitkan oleh ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, Isnin lepas.

Pengerusi syarikat itu Kapt (B) Datuk Zahar Hashim mendakwa keputusan kementerian mengeluarkan surat hasrat (LOI) kepada Eurocopter "agak luar biasa dan bertentangan dengan prosedur yang telah diamalkan selama ini."

Kementerian Pertahanan bagaimanapun menafikan perolehan helikopter Eurocopter Cougar EC-725 melalui proses yang meragukan dan luar kebiasaan seperti dakwaan sebuah syarikat baru-baru ini.

Dalam kenyataannya Jumaat lepas, ketua setiausaha kementerian itu Datuk Abu Bakar Abdullah menyatakan perolehan itu mengikut peraturan seperti ditetapkan, tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

No comments:

Posting Terkini