Pages

Tuesday, September 2, 2008

UMNO minta maaf berhubung kenyataan perkauman

KUALA LUMPUR 2 Sept. — UMNO, tunggak kerajaan Barisan Nasional (BN), mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka berhubung kenyataan yang dibuat oleh Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera Datuk Ahmad Ismail semasa pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh bulan lepas.

“Kami berharap orang bukan Melayu tidak terlalu terganggu dengan kenyataan itu dan kami meminta maaf jika ia telah menyentuh sensiviti atau menimbulkan rasa kurang senang berhubung kenyataan itu.

“Kami minta maaf, UMNO meminta maaf walaupun ia bukan kenyataan kami tetapi kenyataan itu telah dibuat oleh seorang daripada ketua bahagian kami. Ianya tidak wajar dan tidak mencerminkan pendirian dan sikap UMNO atau kepimpinan UMNO. Kami benar-benar kesal dengan perkara itu,” kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Timbalan Presiden UMNO di sini hari ini.

Menjelang pilihan raya kecil Permatang Pauh, Ahmad Ismail pada satu ceramah telah didakwa berkata masyarakat Cina hanyalah kaum pendatang di negara ini dan dengan itu tidak berhak diberikan hak sama rata di Malaysia.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan kenderaan Multi Purpose Chery, Najib berkata Majlis Tertinggi UMNO pada mesyuaratnya akan datang akan memutuskan “tindakan sesuai” yang akan diambil terhadap ketua bahagian itu.

“Kenyataan itu merupakan kenyataan dia secara perbadi dan tidak merupakan pendirian umno dan kerajaan. Kita tidak menganggap warganegara Malaysia keturunan Cina, India dan lain-lain sebagai penumpang.

“Mereka adalah warganegara Malaysia yang mempunyai hak sepenuhnya dan kita akan tetap menjaga kepentingan mereka dan maruah mereka dan saya sifatkan kenyataan itu sebagai satu yang amat dikesali oleh UMNO dan kerajaan,” kata Najib.— BERNAMA

No comments:

Posting Terkini