Pages

Tuesday, September 17, 2013

Rakyat Canada bantah usul larang pakai simbol agama


MONTREAL: Beribu-ribu penduduk, kebanyakannya beragama Islam, membanjiri jalan raya di Montreal kelmarin sebagai melahirkan rasa marah terhadap rancangan melarang pekerja awam memakai sebarang pakaian bersifat keagamaan di Quebec.
Larangan memakai tudung, serban atau sebarang pakaian yang melambangkan agama merupakan sebahagian daripada usul menggubal Piagam Nilai (Charter of Values) wilayah itu.
Penunjuk perasaan melaungkan slogan, "(Katakan) Tidak kepada piagam" sambil mengulangi kata-kata, "Quebec bukan Perancis". Ini rujukan kepada undang-undang serupa di Perancis yang telah berkuatkuasa lebih dua tahun lalu.
Usul tersebut akan dibawa ke parlimen tidak lama lagi dan telah mencetuskan perdebatan hangat sejak butirannya didedahkan kepada media beberapa minggu lalu.
Jika diluluskan, pekerja sektor awam akan dilarang memakai "simbol keagamaan yang ketara", termasuk tudung, yarmulka (tutup kepala kecil yang dipakai oleh lelaki Yahudi), sarban dan salib yang besar ke tempat kerja.
Usul itu juga memerlukan pengguna perkhidmatan awam "mendedahkan muka mereka sepenuhnya" - langkah yang disasarkan untuk melarang pemakaian niqab oleh sesetengah wanita Islam.

Namun, ia membenarkan pekerja awam memakai barang kemas bersifat keagamaan asalkan ia "tidak begitu ketara".
Menteri Quebec yang bertanggungjawab bagi isu itu, Encik Bernard Drainville, baru-baru ini berkata bahawa menghapuskan pemakaian pakaian bersifat keagamaan oleh pekerja awam akan membantu meningkatkan semangat perpaduan di kalangan penduduk Quebec.
"Cara terbaik menghormati semua penduduk Quebec, semua kepercayaan dan semua agama, adalah untuk wilayah ini tidak mempunyai agama," kata Encik Drainville.
Tetapi pengecualian diberi kepada salib yang telah menghiasi dewan utama Perhimpunan Kebangsaan sejak 1936, katanya.
Beliau mengesahkan, salib itu akan kekal di tempatnya sebagai menghormati "warisan budaya" wilayah itu.
Usul tersebut telah mencetuskan kritikan keras.
Ahli politik federal seperti Menteri Pekerjaan, Pembangunan Sosial dan Berbilang Budaya, Encik Jason Kennedy berkata usul itu akan "mengehadkan keupayaan rakyat Canada untuk mengambil bahagian dalam masyarakat kita, dan akan menjejas pengamalan kepercayaan mereka." - AFP.

No comments:

Posting Terkini