Pages

Wednesday, February 6, 2013

Zahid perlu jawab penyelewengan


KUALA LUMPUR 6 Feb: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu jawab isu penyelewengan dan kepincangan dasar keselamatan negara di bawah Kementerian Pertahanan (Kementah).
Bekas Timbalan Panglima Angkatan Tentera Darat Malaysia, Lt Jen (B) Datuk Abdul Ghafir Abdul Hamid
Bekas Timbalan Panglima Angkatan Tentera Darat Malaysia, Lt Jen (B) Datuk Abdul Ghafir Abdul Hamid berkata, Zahid tidak perlu berang dengan pendedahannya berkenaan tahap keselamatan serta kemudahan di kem tentera.
“Orang awam yang melalui kem tentera di seluruh negara boleh menilai keuzuran kem berkenaan. Hakikatnya kem-kem tersebut dibiar tanpa pembaikan sejak era penjajahan British,” katanya kepada Keadilan Daily.
Beliau berkata, sehingga kini, kelemahan itu masih wujud dan Zahid patut bertindak, bukan mempersoal kelayakannya sebagai timbalan panglima.

“Isu pokok yang saya dedah ialah penyelewengan dana ATM (Angkatan Tentera Malaysia) hinggakan kem tentera Malaysia seperti kem negara dunia ketiga. Tak wajar Menteri persoal demikian.
“Kerajaan kaya tetapi kelengkapan dan kem tentera sangat daif. Sedangkan RM75 bilion (jumlah terkumpul) sudah dibelanjakan ikut belanjawan. Ke mana perbelanjaan ini disalurkan, Zahid mesti jawab,” tegas Ghafir.
Semalam, Zahid naik berang bila ditanya media mengenai dakwaan Ghafir itu dan memberi reaksi angkuh.
“Tahap (standard) dia apa? Tanya dia balik. Apa standard dia? Masa itu dia jadi timbalan panglima, saya ketua dia. Dia yang buat standard itu,” kata Zahid dipetik.
23 Januari lalu, Ghafir dalam sidang medianya bersama Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim membongkar kepincangan dasar keselamatan negara di bawah Kementah.
Beliau mendakwa, Kementah kini menghadapi pelbagai bentuk penyelewengan dan kelemahan urus tadbir.
Katanya, Kementah tidak menaiktaraf kem-kem sementara sejak era penjajahan British.
Tentera juga katanya, tidak diberi kelengkapan secukupnya.
Dedah Ghafir, amalan kepimpinan Mindef membeli senjata melalui kaedah secara rundingan terus terdedah kepada rasuah.
Majlis Rundingan Keselamatan (MRK) KEADILAN, Datuk Abdul Hadi Abdul Khatab
Mengulas sama, Presiden Majlis Rundingan Keselamatan (MRK) KEADILAN, Datuk Abdul Hadi Abdul Khatab menggesa Zahid menilai pendedahan itu dan bukan bersikap angkuh menolaknya.
Menurutnya, pendedahan Ghafir adalah realiti dihadapi ATM dan bukan perkara kecil.
“Zahid sepatutnya jangan angkuh dengan mempersoal kelayakan Ghafir tetapi teliti pendedahan tersebut dan segera baiki kelemahan.
“Zahid juga tidak bertanggungjawab kerana menyalahkan Ghafir ekoran tahap ATM tidak memuaskan.
“Jelas, sikap ini menunjukkan dia jahil mengenai perkembangan ATM dan sukar menerima hakikat,” ujar Penaung Pertubuhan Bekas Anggota Keselamatan Malaysia (Pahlawan) itu.

1 comment:

Kumpulan Ebook Gratis said...

korupsi itu bahaya laten..

Posting Terkini