Pages

Sunday, February 24, 2013

45 individu ditahan reman


sindiket pemerdagangan manusia yang beroperasi dengan menjual bayi dan kanak-kanak
BUKIT MERTAJAM - Polis semalam mendapat kebenaran daripada Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Bukit Mertajam untuk mereman 45 individu bagi membantu siasatan terhadap sindiket pemerdagangan manusia yang beroperasi dengan menjual bayi dan kanak-kanak selama empat hari hingga Selasa ini.
Jumlah itu termasuk kes terbaharu membabitkan dua orang wanita yang ditahan dalam serbuan berasingan di Subang Jaya dan Cheras, Selangor kelmarin.
Hasil kejayaan itu, polis berjaya menemui seorang lagi bayi lelaki berusia dua bulan, menjadikan jumlah keseluruhan bayi yang diselamatkan ialah 22 orang.
Ketua Polis Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, kesemua mereka berusia antara 27 hingga 57 tahun terdiri daripada pekerja biasa dan profesional termasuk jurutera dan pensyarah.

"Mereka ditahan bagi membantu siasatan menurut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007. Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 20 tahun serta denda," katanya.
Menurut Abdul Rahim, kejayaan menyelamatkan seorang bayi berusia dua bulan daripada menjadi mangsa sindiket penjualan bayi dan kanak-kanak kelmarin selepas polis Pulau Pinang menyerbu sebuah rumah pada pukul 1 petang di USJ, Subang Jaya.
Katanya, dalam Ops Pintas Sayang II itu, pihaknya turut menahan seorang wanita berusia 32 tahun dipercayai merupakan pembeli bayi berkenaan.
Menurutnya, susulan penahanan wanita itu, polis menahan seorang lagi wanita di Cheras, Selangor pada hari sama bagi membantu siasatan.
"Sehingga semalam (hari ini), kita berjaya menyelamatkan 22 bayi dan kanak-kanak yang dipercayai menjadi mangsa sindiket terbabit dan menahan 45 orang," katanya.
Kelmarin, akhbar melaporkan, 21 bayi dan kanak-kanak diselamatkan di Selangor, Johor, Perak, Kuala Lumpur, Pahang, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Seramai 43 orang termasuk seorang wanita berusia lingkungan 50-an dipercayai dalang sindiket berkenaan ditahan.
Pada 24 Januari lalu, polis Pulau Pinang berjaya membongkar sindiket menjual bayi dan kanak-kanak yang bergerak aktif di negeri ini, Kedah dan Perak apabila menahan 33 individu dan menyelamatkan lapan bayi serta seorang kanak-kanak.
Siasatan awal polis mendapati, bayi dan kanak-kanak itu dijual antara RM18,000 dan RM30,000 berdasarkan fizikal, rupa paras dan jantina, lengkap dengan penyediaan pakej dokumen pendaftaran serta perubatan bayi dan kanak-kanak tersebut. - Bernama

No comments:

Posting Terkini