Pages

Thursday, January 31, 2013

John Kerry disahkan sebagai setiausaha negara baru Amerika


John Kerry disahkan sebagai setiausaha negara baru Amerika
WASHINGTON: Senat Amerika Syarikat mengesahkan semalam pelantikan Senator John Kerry sebagai setiausaha negara baru, meluluskan calon pilihan Presiden Barack Obama itu bagi menggantikan Cik Hillary Clinton sebagai diplomat tertinggi Amerika.
Encik Kerry - senator dari Massachussets yang terkenal di luar Amerika kerana kempen presidennya pada 2004 - dicalonkan bulan lalu untuk mengambil alih portfolio ehwal luar negara dalam pasukan Encik Obama bagi penggal kedua pentadbirannya.
Senat memberi undi 94-3 untuk menyokong penggubal dasar veteran daripada Parti Demokratik itu selepas Jawatankuasa Hubungan Luar dewan tersebut, yang dipengerusikan Encik Kerry, meluluskan pencalonan beliau awal semalam.

Pencalonan Encik Kerry diusul kepada Senat dalam masa beberapa hari sahaja, memandangkan ada sokongan dwipartisan bagi veteran penggubal dasar berusia 69 tahun itu.
Encik Kerry telah menghabiskan masa 28 tahun dalam Senat dan mempunyai sekutu dalam kedua-dua pihak bertentangan.
"John dihormati pemimpin di seluruh dunia dan mendapat keyakinan Demokrat dan Republikan dalam Senat, dan saya yakin beliau akan menjadi seorang setiausaha negara luar biasa," kata Encik Obama.
"Saya menantikan dengan penuh harap sokongan dan perkongsiannya dalam tahun-tahun mendatang sedang kita mengukuhkan kepimpinan Amerika di dunia dan memajukan kepentingan dan nilai yang membuat negara kita menjadi kukuh," tambah beliau.
Encik Kerry memang diketahui telah lama mendambakan jawatan itu tetapi hampir ditewaskan oleh duta Amerika ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Cik Susan Rice, yang dilihat sebagai calon pertama Encik Obama.
Cik Rice enggan ditimbangkan bagi jawatan itu selepas diselar Republikan berhubung respons pentadbiran Encik Obama terhadap serangan ke atas misi Amerika di Libya pada 11 September lalu, yang menyebabkan empat rakyat Amerika terbunuh. - AFP.

No comments:

Posting Terkini