PERSAINGAN BERTAMBAH SENGIT: Presiden Barack Obama sedang memberikan ucapan dalam satu perhimpunan di Desert Pines High School, di Las Vegas, Nevada, kelmarin. Encik Obama sedang membuat persiapan bagi perdebatannya yang pertama dengan calon presiden Parti Republikan, mantan senator Massachusetts, Encik Mitt Romney, di Denver, esok. - Foto AFP
WASHINGTON: Lima minggu lagi ke hari pemilihan presiden Amerika Syarikat, Presiden Barack Obama dianggap hampir mencapai 270 undian yang diperlukan untuk beliau melanjutkan penggalnya yang kedua.
Laluan bagi calon presiden Republikan, Encik Mitt Romney, pula semakin sukar.
Bagi mengatasi Encik Obama, pencabarnya itu memerlukan kelebihan dalam hampir kesemua sembilan wilayah di mana beliau dan Encik Obama dijangka bersaing sengit.
Beberapa tinjauan menunjukkan bahawa presiden Amerika itu kini mendahului dalam kebanyakan wilayah berkenaan berbanding Encik Romney.
Calon Parti Republikan itu dikatakan berusaha mengubah nasibnya menjelang perdebatan pertama mereka esok malam (waktu tempatan) di Denver.
Pada perhimpunan sebelah malam di Las Vegas, kelmarin, Encik Obama berkata sedang beberapa orang mungkin mengarahkan tumpuan mereka kepada pendebat terbaik pada malam itu, beliau akan menumpukan perhatiannya kepada perbincangan mengenai masa depan Amerika.
"Apa yang menjadi keprihatinan saya ialah mengadakan perbincangan yang serius tentang apa yang perlu kita lakukan untuk memastikan negara kita terus bergerak dan memulihkan keselamatan bagi rakyat Amerika yang bekerja keras.
"Itulah apa yang mahu didengar orang ramai.
"Itulah perdebatan yang anda layak ikuti," ujarnya.
Encik Obama menarik perhatian lebih 11,000 hadirin pada perhimpunan sebelah malam di Nevada itu, sebuah wilayah yang dijangka menjadi medan 'pertempuran yang sengit' dalam perebutan jawatan presiden Amerika itu.
Acara di Las Vegas tersebut sebahagiannya bertujuan merangsang keghairahan di kalangan pengundi Amerika Latin, sumber utama sokongan Encik Obama di Nevada.
Encik Romney pula kekal di Boston, kelmarin, sambil membuat persiapan bagi acara perdebatan esok.
Pasangan beliau dalam pilihan raya presiden Amerika, Encik Paul Ryan, berkata masih ada masa bagi calon Republikan itu memenangi pilihan raya tersebut.
"Dalam perlumbaan seperti ini, orang ramai akan memberikan fokusnya menjelang detik-detik terakhir, dan itulah apa yang sedang berlaku sekarang," kata beliau kepada rancangan Fox News Sunday.
Seorang penyokong kuat Encik Romney, Encik Chris Christie, yang juga Gabenor New Jersey, berkata beliau menjangkakan prestasi debat Encik Romney di Denver bakal merombak suasana kempen selepas satu "tempoh sukar sejak beberapa minggu lalu".
Lewat kelmarin, Encik Romney mengecam dasar Timur Tengah Encik Obama dalam usahanya meningkatkan tekanan ke atas presiden Amerika itu selepas satu gelombang anti-Amerika berlaku di beberapa negara Islam.
Pada satu rencana dalam akhbar The Wall Street Journal (WSJ), Encik Romney menyifatkan perkembangan "membimbangkan" di Timur Tengah itu seolah-olah seperti meletakkan Amerika pada kedudukan yang lemah dan tidak berdaya membentuk perkembangan di rantau itu.
"Kita tidak menggerakkan mereka pada arah yang boleh melindungi rakyat kita atau sekutu-sekutu kita. Dan itu berbahaya," tegas Encik Romney.
"Jika Timur Tengah menjadi huru-hara, jika Iran bergerak maju ke arah program nuklearnya, atau jika keselamatan Israel dikompromi, Amerika mungkin ditarik ke dalam lubuk pusar yang besar," tambahnya. - AP, AFP.
No comments:
Post a Comment