Pages

Tuesday, September 25, 2012

Resorts World Sentosa bersiap buka akuarium lautan terbesar dunia


Resorts World Sentosa bersiap buka akuarium lautan terbesar dunia
WARNA-WARNI LAUT: Pengunjung akan berpeluang berenang bersama ribuan ikan berwarna-warni di akuarium Rainbow Reef di Adventure Cove Waterpark ini, iaitu taman bertema air yang merupakan antara tarikan Marine Life Park di RWS. - Foto RESORTS WORLD SENTOSA

Singapura: Daya tarikan terbaru di Resorts World Sentosa (RWS) - Marine Life Park, iaitu akuarium lautan terbesar di dunia - akan dibuka kepada orang ramai hujung tahun ini.
Tarikh pembukaannya belum didedahkan, namun ia lebih awal daripada pembukaan rasmi RWS pada 7 Disember.
Marine Life Park, yang hampir siap dan bertemakan kehidupan haiwan marin, akan menampilkan dua tarikan - taman bertema air Adventure Cove Waterpark dan akuarium terbesar di dunia, Southeast Asia Aquarium (S.E.A Aquarium) - bagi hiburan seisi keluarga.
Pengunjung ke Adventure Cove Waterpark akan berpeluang menaiki rollercoaster hidromagnet yang pertama di Asia Tenggara, yang diberi nama Riptide Rocket, berenang bersama ribuan ikan dalam akuarium Rainbow Reef dan berinteraksi bersama ikan lumba-lumba.
Tarikan itu satu-satunya taman tema air dengan elemen kehidupan laut yang terdapat di rantau ini.
Bagi yang tidak gemar kegiatan air, S.E.A Aquarium, yang dihuni 800 spesies kehidupan laut dan lebih 100,000 haiwan laut, termasuk ikan pari manta dan ikan yu tanduk (hammerhead shark), akan menanti kehadiran pengunjung.
Pengarah Marine Life Park, RWS, Encik Biswajit Guha, berkata taman itu dibina berkonsepkan pendidikan dan hiburan bersepadu dan bukan setakat hiburan pengunjung.
Malah, pengunjung dapat mempelajari kepentingan memelihara kehidupan haiwan marin dan mengenali dunia mereka dengan lebih dekat.
Selain penyelidikan antarabangsa dan projek pemuliharaan, Marine Life Park akan mengadakan programprogram bagi pelajar daripada peringkat prasekolah hingga pengajian tinggi untuk mereka mendekati dan mempelajari hidupan laut.
"Yang penting bagi kami ialah peluang bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara bagi melihat bagaimana pengetahuan dan maklumat yang kami perolehi daripada Marine Life Park, baik di Adventure Cove Waterpark mahupun S.E.A Aquarium, boleh dimanfaatkan menerusi usaha pemuliharaan," kata Encik Biswajit.
RWS bagaimanapun belum memaklumkan harga tiket bagi kededua tarikan Marine Life Park itu.
Marine Life Park sebahagian daripada projek resort bersepadu yang menelan belanja $70 bilion.
Pembukaan rasmi RWS akan berlangsung di kawasan Lake of Dreams, iaitu Tasik Impian, diikuti dengan beberapa persembahan dan sebuah pertunjukan bunga api selama 12 minit di Waterfront Promenade.
Naib Presiden bagi Pengurusan Bilik dan F&B, RWS, Encik Greg Allan, berkata beliau menyasarkan sekitar 16 juta pengunjung ke resort itu pada tahun depan.
"Dengan mengadakan pilihan tarikan yang luas, pengunjung akan tertarik untuk tinggal di resort ini lebih lama lagi, mungkin tiga atau empat hari, bagi melihat tarikan-tarikan lain yang terdapat di sini," kata beliau.

Popular Posts


No comments:

Posting Terkini