Pages

Wednesday, April 18, 2012

PBB kecam pelancaran roket Korea Utara


NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam kelmarin pelancaran roket Korea Utara sambil mengumumkan ia akan mengenakan sekatan baru terhadap negara itu.

Malah, majlis itu memberi amaran tindakan lanjut akan diambil terhadap Pyongyang jika ia melakukan pelancaran baru atau melaksana ujian nuklear.

Dalam satu kenyataan, majlis 15 negara anggota itu - termasuk sekutu rapat Korea Utara, China, dan negara yang memiliki senjata nuklear, Pakistan - mengecam keras pelancaran roket Pyongyang dan menarik perhatian kepada kebimbangan serius tentang keselamatan di Asia.

Langkah itu diambil sedang Pyongyang dilaporkan menyatakan ia tidak akan membenarkan para merinyu Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) memeriksa program nuklearnya - komponen utama dalam perjanjian yang dicapai dengan Amerika Syarikat Februari lalu, dengan Amerika akan memberi bantuan makanan beribu tan yang sangat diperlukan Korea Utara.


Selain mengecam pelancaran roket Korea Utara, majlis itu membantah dasar ketenteraan yang ingin dilaksana pemimpin baru negara itu, Encik Kim Jong-Un.

Majlis itu telah mengarahkan jawatankuasa sekatannya supaya memanjangkan senarai entiti Korea Utara yang mungkin dikenakan pembekuan aset serta mengenal pasti lebih banyak teknologi berkembang pesat bagi dihalang daripada dipindah masuk atau keluar dari negara itu.

Misi PBB Korea Utara tidak segera memberikan komen tentang tindakan Majlis Keselamatan PBB itu.

Menurut majlis tersebut, pelancaran roket itu, yang meledak di Laut Kuning sejurus selepas dilancarkan, merupakan pencabulan serius ketetapan PBB.

Korea Utara menyatakan pelancaran itu hanya bagi meletakkan satelit pada ruang orbit, tetapi Amerika dan sekutunya berkata ia percubaan menguji peluru berpandu.

Sementara itu, Korea Selatan akan menghentikan operasi mencari serpihan roket Korea Utara yang berkecai itu kerana tidak menemui sebarang serpihan, kata Kementerian Pertahanan Negara itu.

Operasi itu bermula Jumaat lalu.

Kapal perang China, Russia dan Amerika turut mencari serpihan di kawasan lebih luas di Laut Kuning daripada tapak tempat serpihan roket itu dipercayai jatuh.

Menurut pegawai Korea Selatan, operasi yang melibatkan kapal tentera laut dan helikopter terhambat kerana air keruh.

'Tiada serpihan ditemui dan operasi akan berakhir secara rasmi pada 5 petang (waktu tempatan),' kata seorang jurucakap Kementerian Pertahanan Korea Selatan.

Korea Utara telah memberi amaran sebelum melancarkan roketnya itu bahawa sebarang usaha mengutip serpihannya akan menghadapi tindak balas tanpa belas kasihan daripada Pyongyang. -- AP, AFP.

No comments:

Posting Terkini