Monday, February 27, 2012
Bandar kedua terbesar Taiwan digegar gempa
TAIPEI: Satu gempa bumi sekuat 5.9 pada skala Richter, yang berlaku dekat paras muka bumi, menyebabkan orang ramai bergegas melarikan diri ke jalan raya di Kaohsiung, bandar kedua terbesar di Taiwan, semalam.
Perkhidmatan rel juga terpaksa dihentikan buat sementara tetapi tiada kecederaan atau kematian dilaporkan.
Gempa itu berlaku pada 10.34 pagi waktu tempatan, dekat sekitar 57 kilometer ke timur bandar selatan Taiwan itu pada paras sedalam empat kilometer dari permukaan bumi, kata Tinjauan Geologi Amerika Syarikat.
Pihak Hongkong Observatory pula mengukur gempa itu sekuat 6.0 pada skala Richter, manakala Pusat Seismologi Taiwan memberikan bacaan 6.1 pada skala Richter.
Agensi Kebakaran Kebangsaan Taiwan berkata tidak ada kecederaan atau kematian yang dilaporkan selain tidak ada sebarang kerosakan kebendaan yang besar.
'Beberapa penduduk Kaohsiung mencari tempat perlindungan di beberapa jalan raya buat seketika, tetapi tidak terlalu ramai,' kata seorang pegawai polis Kaohsiung kepada agensi berita AFP.
Encik Chen Jung-yu, seorang jurucakap Pusat Seismologi Taiwan, berkata jarang sekali satu gempa bumi sekuat itu berlaku di kawasan Kaohsiung.
'Sedang gempa bumi itu kuat, ia tidak mengambil masa yang panjang.
'Bangunan di bandar-bandar berdekatan pusat gempa pun bergoyang tidak lebih daripada tujuh saat. Itu sebabnya ia tidak menyebabkan kerosakan,' kata Encik Chen kepada AFP.
Sebatang landasan kereta api laju yang menghubungkan Kaohsiung dengan Taipei di utara Taiwan memulakan semula khidmatnya sekitar 90 minit selepas gempa bumi itu berlaku.
Kawasan metropolitan Kaohsiung mempunyai hampir tiga juta penduduk. -- AFP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment