Saturday, January 7, 2012
Tok Mun mahu tanding kerusi DUN pula
KUALA TERENGGANU: Ketika ramai masih berteka teki bila Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan diadakan, Tok Mun atau nama sebenarnya Cik Maimun Yusof, 93 tahun, (gambar) yang pernah bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Kuala Terengganu pada PRU 2008, sudah membuat persediaan bertanding lagi.
Dengan kudrat yang masih kuat biarpun usia sudah hampir menjangkau seabad, Tok Mun adalah bakal calon paling awal mengunjungi pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di bandar raya ini bagi mendapatkan maklumat yang perlu sebagai persediaan bagi PRU kelak.
Tok Mun ketika ditemui di rumahnya kelmarin, berkata beliau tidak berhasrat bertanding bagi kerusi Parlimen.Sebaliknya, beliau mahu merubah angin bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
'SPR kata untuk bertanding kerusi Parlimen Tok kena sediakan duit RM10,000 tetapi bagi DUN perlukan wang RM5,000 saja. Tok pun bukan ada duit sangat, jadi Tok nak bertanding kerusi DUN saja.
'Ketika ke pejabat SPR, Tok beritahu mereka Tok mahu bertanding menggunakan simbol yang Tok simpan (lambang kerajaan negeri Terengganu), tetapi mereka suruh Tok pilih simbol lain.
'Jadi, jika Tok masuk bertanding PRU nanti terpaksa guna simbol yang mereka beri dan Tok pilih simbol rumah (sambil menunjukkan kertas diberikan SPR yang memaparkan pelbagai simbol). Simbol rumah saboh (sesuai) sikit,' katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Pengadang Akar di sini.
Tok Mun, yang tinggal bersendirian di rumah yang sudah sangat usang itu, adalah calon tertua yang bertanding pada PRU Ke-12 bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dengan menggunakan simbol kunci, menentang calon Barisan Nasional, Allahyarham Datuk Razali Ismail dan Parti Islam SeMalaysia (PAS), Encik Mohamad Sabu.
Bagaimanapun, Tok Mun yang mencari pendapatan dengan menjaja kain dan jeruk buah-buahan menaiki basikal itu tewas di tangan Allahyarham Datuk Razali Ismail dengan hanya meraih 685 undi.
Ditanya mengapa beliau bersungguh-sungguh mahu bertanding dalam PRU sedangkan untuk menyara hidupnya pun beliau menerima bantuan bulanan RM200 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Tok Mun berkata beliau mahu bercakap mewakili rakyat bagi memperbetulkan sistem pentadbiran negara yang didakwanya banyak kesilapan. -- BHM.
Labels:
piliharan raya
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
menabung dari kecik mcm rosmah..
Post a Comment