PETALING JAYA: Usaha pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 sebenarnya dipelopori oleh bekas presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Khir Toyo.
“Saya telah membuat desakan selaku presiden MBM sekitar tahun 2003-2004 agar AUKU dimansuhkan,” kata bekas menteri besar Selangor itu ketika dihubungi hari ini.
Menteri Pengajian Tinggi ketika itu adalah Datuk Seri Mustapa Mohamad.
Semalam media melaporkan Menteri berkenaan Mohd Khaled Nordin sebagai berkata akan membincangkan keputusan Mahkamah Rayuan berkenaan seksyen 15 AUKU dalam mesyuarat Kabinet akan datang.
Khir berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan bahawa Seksyen 15(5)(a) yang melarang pembabitan pelajar dalam politik adalah bertentangan dengan Fasal 10 Perlembagaan Persekutuan.
Beliau menambah bahawa desakan MBM seterusnya menyebabkan pindaan dilakukan terhadap AUKU.
“Tapi kita tak setuju kerana kerajaan tak boleh skeptikal terhadap golongan mahasiswa,” tambah Khir yang juga Adun Sungai Panjang.
Khir menambah bahawa desakan terhadap pemansuhan AUKU dibuat kerana universiti menjadi tempat mahasiswa menimba pengalaman dan mendapat pendedahan sebagai bakal pemimpin.
“Bagi saya, pengalaman dan pendedahan lebih penting kerana mahasiswa matang dan adalah bakal pemimpin. Bakal pemimpin tidak semestinya terdiri dari mahasiswa cemerlang.”
Khir juga hairan kerana pemansuhan AUKU tidak diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan Hari Malaysia dalam bulan September, sebaliknya hanya mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
No comments:
Post a Comment