Pages

Tuesday, November 1, 2011

Annuar Musa dijangka dilantik pengarah pilihan raya

PETALING JAYA: Bekas menteri kabinet, Tan Sri Annuar Musa dijangka dilantik sebagai pengarah pilihan raya Barisan Nasional (BN) Kelantan, kata satu sumber.
“Hanya tunggu pengumuman sahaja. Beliau merupakan tokoh paling sesuai berdasarkan pengalamannya dalam politik Kelantan.
“Peluang BN menang sangat cerah jika Annuar jadi pengarah pilihan raya kerana sokongan orang muda kepada Umno,” kata sumber itu.

Annuar yang kini Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan pernah menjadi pengerusi perhubungan Umno Kelantan dari 2005 hingga 2008.
Bagaimanapun, beliau yang bertanding di kerusi Parlimen Ketereh pada 2008 kalah kepada calon PKR, Abdul Aziz Abd Kadir.
BN Kelantan kini diketuai oleh Datuk Mustafa Mohamad, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Seorang pemimpin Umno Kota Baru yang dihubungi hari ini berkata, jika Annuar menjadi pengarah pilihan raya akan bercanggah dengan peranan Mustafa sebagai ketua perhubungan Umno negeri.
“Selalunya ketua perhubungan negeri akan menjadi pengarah pilihan raya,” kata Mansor Adabi Che Hassan, AJK Umno bahagian Kota Baru.
Di dalam Umno Kelantan, Annuar merupakan AJK negeri dan ketua Umno bahagian Ketereh.
Menurut Mansor, zaman kegemilangan Annuar dalam memimpin Umno sudah berlalu setelah kalah dalam pilihan raya umum lalu.
“Memang ada kumpulan penyokong Annuar yang mahu beliau menjadi pengarah pilihan raya berdasarkan sokongan orang muda kepada pasukan bola sepak Kelantan.
“Tetapi kita tidak tahu sama ada penyokong bola itu mengundi Umno atau tidak,” katanya.

No comments:

Posting Terkini