Pages

Saturday, October 15, 2011

Muhyiddin minta Majlis Agama Islam negeri bincang akta murtad



PORT DICKSON 15 Okt — Cadangan supaya Akta Murtad diwujudkan harus dibincangkan secara bersama-sama oleh majlis-majlis agama Islam negeri kerana soal agama terletak dalam bidang kuasa kerajaan negeri, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Beliau berkata penguatkuasaan enakmen melarang orang bukan Islam menyebarkan agama mereka kepada kalangan orang Islam juga terletak dalam kuasa kerajaan negeri.


"Apa pun hukuman harus diputuskan bersama-sama... kalau tidak akan timbul masalah. Yang saya tahu di setengah-setengah negeri, sudah ada enakmen untuk melarang orang yang bukan Islam menyebarkan agama mereka,” katanya kepada pemberita selepas majlis sepetang bersama Timbalan Perdana Menteri di Kampung Paya hari ini.

Beliau berkata sekiranya kesepakatan dicapai, penelitian juga harus dibuat supaya akta yang ingin diwujudkan itu tidak bercanggah dengan bidang kuasa kerajaan persekutuan sebelum ia diteliti oleh Peguam Negara.

Akta Murtad dicadangkan oleh Mufti Perak Tan Sri Harunussaini Zakaria baru-baru ini untuk menghukum individu yang terbukti bersalah memurtadkan orang Islam kerana ia jelas bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
- Bernama

No comments:

Posting Terkini