Pages

Thursday, October 20, 2011

Harga COE bagi semua kategori terus meningkat


Warta Kerajaan Rakyat l Singapura - HARGA bagi Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) meningkat semalam - dalam tender pertama selepas pemerintah mengumumkan akan mengurangkan pertumbuhan kenderaan pada masa akan datang.

Harga COE bagi kereta 1,600cc ke bawah dicatatkan pada harga $56,112 - naik daripada paras $50,289 pada dua minggu lalu.

COE untuk kereta besar iaitu 1,600cc ke atas pula berharga $75,889. Harga ini melonjak daripada harga $63,600 sebelumnya.

Kenaikan pada kedua-dua kategori ini dilihat sebagai yang tertinggi dicatatkan pada tahun ini.

Bagi kategori terbuka pula yang boleh digunakan bagi memiliki semua jenis kenderaan harganya juga meningkat kepada $73,600 berbanding dua minggu lalu sebanyak $65,058.


Kategori terbuka ini pula kebanyakannya digunakan oleh pembida untuk membeli kereta.

COE bagi kenderaan komersial juga memperlihatkan kenaikan daripada $32,801 kepada $37,011.

Kadar kenaikan bagi kenderaan komersial ini juga adalah yang tertinggi pada tahun ini.

Bagi kategori motosikal pula, ia menujukkan peningkatan daripada $2,078 kepada $2,091.

Kenaikan itu menyusuli pengumuman Menteri Pengangkutan, Encik Lui Tuck Yew, pada Jumaat lalu.

Encik Lui memberitahu bahawa pertumbuhan kenderaan akan dikurangkan daripada 1.5 peratus setahun kepada 0.5 peratus mulai Ogos tahun depan. Ini bermakna COE berkurangan dan dijangka meningkatkan harganya.

'Pengumuman menteri menyaksikan harga COE meningkat dengan mendadak.

'Memang kami jangkakan harga akan meningkat untuk COE kali ini,' ujar ejen penjual kereta, Encik Alvin Teoh.

Menurut para pengamat lagi, harga COE dijangka mencecah $80,000 pada bila-bila masa sahaja baik bagi kategori kereta besar mahu pun terbuka.

'Kami jangka harga COE boleh mencecah $80,000 mungkin pada penghujung tahun ini atau awal tahun depan.

'Ramai yang mengejar COE pada hari ini. Pembeli bimbang apa yang bakal berlaku apabila pengurangan COE dikuatkuasakan pada Ogos depan nanti,' ujar Encik Michael Lum, juga seorang ejen penjual kereta.

Tidak hairanlah jika beliau juga melihat kian ramai pembeli cuba mendapatkan kereta pada bulan ini dan pada bulan depan bagi mengelak harga kereta yang dijangka terus meningkat.

'Memang sekarang kereta telah pun mahal tetapi ramai yang berebut membelinya kerana tidak mahu harga kereta mencecah terlalu tinggi pada masa dua atau tiga bulan nanti,' ujar Encik Lum.

No comments:

Posting Terkini