Pages

Thursday, October 27, 2011

Bekas isteri Zainal tuntut hutang nafkah anak


KUALA LUMPUR: Bekas isteri penyanyi Zainal Abidin memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah di sini kelmarin bahawa beliau menanggung semua perbelanjaan pendidikan dua anak mereka.

Cik Natasha Gabriel Abdullah berkata, perbelanjaan itu meliputi yuran tahunan, yuran Persatuan Ibu Bapa Guru, yuran tambahan, pengangkutan dan juga perbelanjaan tambahan bagi pendidikan khas anak sulungnya, Mikhail, 18 tahun, yang mempunyai autisme.

Selain daripada itu bekas model itu juga menanggung perbelanjaan persekolahan rendah dan persekolahan menengah anak perempuannya, Timur, 16 tahun, yang kini menuntut di sekolah menengah swasta di ibu negara yang berjumlah RM56,729.90 ($22,948.54).

'Sekiranya yuran sekolah tidak dibayar dan telah cukup tempoh, anak saya boleh diberhentikan daripada sekolah terbabit.

'Tetapi,Timur tidak pernah berhadapan dengan masalah seperti itu.


'Saya juga membayar bas yang dinaiki Timur ke sekolah. Sebelum ini, saya membayar RM210 sebulan tetapi sejak setahun lalu saya membayar RM250 sebulan,' kata Cik Natasha yang ditukil mStar Online.

Cik Natasha berkata demikian pada perbicaraan permohonan tuntutan hutang nafkah dua orang anak daripada tahun 2002 berjumlah RM167,102.04 terhadap Zainal Abidin.

Bekas vokalis kumpulan Headwind itu juga menghadapi tuntutan Cik Natasha untuk mengubah perintah nafkah bulanan anak yang berjumlah RM200 dinaikkan menjadi RM1,200 sebulan bagi seorang anak.

Mengulas mengenai pendidikan Mikhail, Cik Natasha berkata bahawa anaknya dihantar ke sebuah sekolah bantuan kerajaan yang menyediakan pendidikan khas bagi kanak-kanak istimewa, sebelum ditukarkan ke sekolah swasta khusus dalam pendidikan khas.

Cik Natasha, 52 tahun, berkahwin dengan Zainal Abidin atau nama sebenarnya Zainal Abidin Mohamed, 51 tahun, pada 24 Mac 1987 dan pasangan itu disahkan bercerai pada 12 Disember 2000.

Ketika ditanya peguamnya apakah tujuan beliau mengemukakan semua dokumen itu, Cik Natasha menjawab:

'Saya mahu membuktikan bahawa saya telah menyekolahkan anak-anak saya di sekolah yang bagus dan anak-anak saya berkembang dengan baik.'

Perbicaraan akan bersambung pada 15 November ini.

No comments:

Posting Terkini