Pages

Thursday, May 5, 2011

Teori konspirasi muncul sejurus Amerika umum pembunuhan Osama

NEW YORK: Sejurus selepas Amerika Syarikat mengumumkan bahawa ia sudah membunuh ketua rangkaian Al-Qaeda, Osama bin Laden, di Pakistan, teori-teori konspirasi mula muncul.

Upacara menyemadikan jenazah pengganas itu dengan segera di laut di utara Laut Arab dan keengganan pihak berkuasa menunjukkan gambarnya merancakkan lagi teori-teori konspirasi.

Salah satu debat hangat itu ialah Osama sudah lama mati, hanya digunakan sebagai alasan oleh Amerika bagi mewajarkan perang ke atas Afghanistan.


Keadaan ini dikongsi oleh aktivis antiperang, Cik Cindy Sheehan, dan pihak-pihak lain yang meraguinya - dari Indiana sehingga Kabul.

'Jika anda percaya kematian terbaru OBL (Osama), anda seorang bodoh,' tulis Cik Sheehan di laman Facebooknya.


Cik Sheehan, yang memulakan kempen antiperang ke atas mantan Presiden Amerika, Encik George W. Bush, di Texas pada 2005, mempertikai fakta yang diberikan oleh Amerika.

Beliau bertanya mengapa upacara penyemadian dijalankan dengan pantas dan tiada rakaman video dikeluarkan.Cik Sheehan bukan satu-satunya orang yang mengajukan soalan sedemikian.

Laman Yahoo Internet berkata 'carian bagi mendapatkan Osama bin Laden tidak mati', 'Osama bin Laden masih hidup' dan 'bin Laden tidak mati' kelihatan ketara Isnin lalu.

Kaum lelaki dilihat lebih berpendapat bahawa Osama masih hidup, kata Yahoo.

Pencari teori 'konspirasi Osama hidup' kebanyakan datang dari kawasan Oregon, Wisconsin, North Carolina, Indiana dan New Jersey.

Di Iran, agensi berita Mehr pula berkata:

'(Berita) kematian Osama satu pembohongan.'

Stesen televisyen Iran itu berkata dengan melepaskan jenazah ke laut 'misteri (kematian) makin meningkat'.

Malah, media Iran itu juga berkata dongeng Osama digunakan untuk mewajarkan pencerobohan Amerika ke atas jirannya, Afghanistan.

Taleban Afghanistan, dalam kenyataannya yang disiarkan menerusi laman web mereka, berkata cakap-cakap bahawa Osama mati 'adalah terlalu awal' dan Amerika belum menyediakan 'bukti-bukti yang meyakinkan'. -- Reuters.




No comments:

Posting Terkini