Pages

Tuesday, May 10, 2011

Saudi nafi air dari telaga zamzam tercemar


Warta Kerajaan Rakyat - JEDDAH: Pihak berkuasa Arab Saudi menafikan air daripada telaga zamzam di kompleks Masjidil Haram di kota suci Makkah tercemar dan menegaskan tidak ada risiko terhadap kesihatan dengan meminumnya.

Pejabat Presiden Hal Ehwal Dua Kota Suci dalam kenyataannya kelmarin berkata pihaknya tidak menerima laporan mengenai sebarang masalah dengan air zamzam, yang disahkan selamat diminum.

Jurucakap pejabat presiden itu, Encik Ahmad al-Mansuri, berkata sampel air diambil setiap hari daripada telaga sedalam 31 meter itu dan langkah-langkah turut diambil bagi memastikan airnya selamat diminum.


Menurut riwayat Islam, telaga itu tidak pernah kering sejak lebih 4,000 tahun lalu dan jemaah haji menganggap airnya sebagai penawar pelbagai penyakit.

Dakwaan air zamzam tercemar dan meminumnya boleh menyebabkan penyakit seperti barah dilaporkan oleh media Britain minggu ini.

Sebelum ini saluran berita BBC mendakwa ujian terhadap contoh daripada paip zamzam di Makkah serta air yang dijual dalam botol menunjukkan kandungan nitrat tinggi, bakteria berbahaya dan kandungan arsenik tiga kali lebih tinggi daripada yang dibenarkan.

Presiden Pusat Kajian Geologi Arab Saudi, Encik Zuhair Nawab, berkata semua langkah telah diambil bagi memastikan telaga dan air zamzam itu sentiasa selamat.

'Agensi ini bertanggungjawab memantau kualiti air yang penting bukan saja kepada Arab Saudi, malah kepada umat Islam sedunia.

'Pemantauan dilakukan setiap hari dengan mengambil tiga sampel air untuk diuji dan setakat ini tiada pencemaran dikesan,' kata beliau kelmarin.

Menurut Encik Zuhair, proses membotolkan air zamzam dibuat secara moden.

'Bahan cemar mungkin ditemui ketika ia diedar semula dalam botol lebih kecil oleh individu tertentu,' katanya.

Pada September tahun lalu, Raja Abdullah telah merasmikan pembukaan sebuah kilang bernilai 700 juta riyal ($228 juta) yang mampu mengeluarkan 200,000 botol air zamzam sehari di Makkah. -- Agensi.
zzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzz

No comments:

Posting Terkini