Pages

Thursday, April 21, 2011

Pendakwa mahu paderi AS dilarang adakan protes di masjid


DEARBORN (Amerika Syarikat): Pendakwa raya mahu mahkamah mengeluarkan perintah melarang paderi yang mengetuai kempen bakar Al-Quran mengadakan protes di masjid terbesar di Amerika esok.

Pendakwa Wayne County mendakwa rancangan Paderi Terry Jones dari Florida mengadakan demonstrasi di Pusat Islam Amerika di sempadan Dearborn/Detroit boleh mencetus 'rusuhan bersenjata'.

Beliau dijadualkan hadir di Mahkamah Daerah di Dearborn hari ini atas permintaan pendakwa raya dan bakal dikenakan 'bon damai' bagi perlindungan polis.


Akhbar The Detroit News melaporkan beliau mendakwa polis Dearborn meminta AS$100,000 ($124,024). Paderi Jones berkata usaha mendiamkan beliau tindakan 'tidak berperlembagaan' dan beliau tidak berhasrat membayarnya.

'Tiada apa-apa akan mengubah (rancangan). Pastinya kami akan berada di sana,' katanya di Dove World Outreach Center itu.

Dalam afidavit yang dilampirkan bersama permohonan itu, Ketua Polis Dearborn, Encik Ronald Haddad, berkata beliau bimbang Paderi Jones akan melakukan tindakan membakar Al-Quran.

'Maklumat risikan membuat saya percaya Paderi Jones akan memudaratkan keselamatan orang ramai dengan melakukan tindakan bertentangan dengan individu atau harta pihak lain dengan membakar Al-Quran,' katanya.

Paderi Jones berkata beliau merancang membawa pistol bagi melindungi dirinya ketika demonstrasi di kawasan masjid Ford Road petang esok. Beliau akan datang dengan sejumlah pengikut untuk membantah terhadap kumpulan pelampau Islam dan undang-undang Syariah.

Tindakannya membakar Al-Quran bulan lalu mengakibatkan rusuhan di Afghanistan dan tindakan menceroboh pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyebabkan hampir 20 orang mati. -- Agensi.

No comments:

Posting Terkini