Pages

Wednesday, April 20, 2011

Kerajaan turut iktiraf bahasa Mandarin, kata Muhyiddin

BEIJING 20 April - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pengantar negara, kerajaan turut memberikan pengiktirafan yang tinggi kepada bahasa Mandarin.

Malah menurutnya, di sekolah-sekolah di Malaysia, murid-murid bukan Cina juga digalakkan untuk mempelajari bahasa Mandarin.

Katanya, beliau percaya dengan menguasai bahasa Mandarin, generasi muda pelbagai kaum di Malaysia akan dapat menghargai bahasa serta kebudayaan kaum Cina, yang merupakan antara aset penting dalam khazanah kepelbagaian budaya di Malaysia.


"Di sekolah-sekolah di Malaysia, bahasa Mandarin bukan diajar sebagai bahasa asing, tetapi sebagai bahasa ibunda kepada kaum Cina,” katanya semasa melawat Beijing Foreign Studies University hari ini.

Beliau berkata, Malaysia turut menghantar pelajar-pelajar Malaysia untuk mengikuti kursus ijazah dalam bidang pengajian Mandarin di BFSU dalam usaha memantapkan pengajaran Bahasa Mandarin di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi.

"Setakat ini terdapat 119 orang pelajar Malaysia tajaan Kementerian Pendidikan Malaysia dan MARA yang mengikuti program ini di BFSU sejak tahun 2007,” katanya. - Bernama

No comments:

Posting Terkini