Pages

Monday, February 7, 2011

Omar Suleiman terbukti sebagai sekutu setia CIA sejak 1993


WASHINGTON: Pergolakan di Kahirah merupakan ancaman terhadap kerjasama antara pihak risikan Amerika Syarikat dengan Mesir. Kerjasama yang dijalin berdekad-dekad lamanya itu adalah usaha Amerika memerangi pengganasan.

Sejak bertahun-tahun, Mesir berkongsi maklumat risikan sensitif dengan Amerika. Jauh sebelum serangan pengganas pada 11 September 2001 (9/11), ejen-ejen risik Kahirah membantu Agensi Risik Pusat (CIA) Amerika mengesan anggota kumpulan pelampau dan Al-Qaeda, kata pakar dan para pegawai.

'Banyak risiko yang sedang dihadapi,' kata Profesor Michael Desch, pakar sains politik daripada Universiti Notre Dame, kepada agensi berita AFP.


'Mereka sering membantu dari segi memerangi pengganasan,' katanya.

Washington sering bergantung pada kerjasama Mesir memberikan lampu hijau untuk menggunakan ruang udara atau wilayahnya bagi operasi risikan. Kahirah pula tidak membantah untuk menerima suspek pengganas yang ditahan Amerika secara rahsia bagi soal siasat.

Namun, hubungan mesra itu mungkin hilang jika bantahan besar-besaran sejak hampir dua minggu lalu berjaya mengakhiri pemerintah Presiden Hosni Mubarak selama tiga dekad itu.

'Isu yang ditimbulkan oleh pergolakan semasa itu ialah, apakah ada sebuah pemerintah, selain pemerintah Mubarak, yang mahu bekerjasama seperti sebelumnya,' kata Profesor Desch.'Saya fikir jawapannya mungkin tidak,' tambahnya.

Jika para pemimpin terpaksa mendengar pandangan awam, perkhidmatan risikan Mesir mungkin kurang bersedia menyokong beberapa inisiatif Amerika. Ini termasuk pertukaran suspek pengganas atau projek-projek yang membawa manfaat kepada Israel.

Perkhidmatan risikan Mesir dipimpin oleh Encik Omar Suleiman sejak 1993.

Beliau memang terbukti sebagai sekutu setia CIA, tetapi kini menghadapi peranan politik yang penting sebagai naib presiden pertama Encik Mubarak.

Pakar-pakar strategi Amerika khuatir bahawa satu pendekatan kurang agresif oleh pihak Mesir mungkin boleh diambil kesempatan oleh para militan.

Mesir diketahui menghasilkan beberapa pemimpin pelampau terkenal, termasuk pemimpin kedua Al-Qaeda, Ayman al-Zawahiri; dan Mohammad Atta, salah seorang perampas pesawat peristiwa serangan 9/11. -- AFP.

No comments:

Posting Terkini