Pages

Thursday, February 10, 2011

AS gesa Mesir tarik balik undang-undang darurat


PENGGERAK BANTAHAN: Seorang pegawai eksekutif laman Google, Encik Wael Ghonim, yang dibebaskan kelmarin selepas ditahan selama dua minggu oleh pihak berkuasa, berucap kepada para penunjuk perasaan di Dataran Tahrir, kelmarin. Beliau dikatakan bertanggungjawab menggerakkan bantahan itu melalui laman Facebook. -- Foto REUTERS



Washington juga mahu Kahirah segera laksana pembaharuan demokrasi


WASHINGTON: Amerika Syarikat menggesa pemerintahan Mesir agar menarik balik undang-undang darurat yang dikuatkuasakan sejak 30 tahun lalu di samping melaksanakan segera pembaharuan demokrasi.

Naib Presiden Amerika, Encik Joe Biden, membuat gesaan itu ketika menghubungi rakan sejawatannya, Encik Omar Suleiman, semalam.

Gesaan itu dibuat sehari selepas penunjuk perasaan meningkatkan protes mereka di Kahirah dan di beberapa bandar raya lain.


Demonstrasi di tengah Kahirah berlarutan sejak 25 Januari lalu.

Gesaan dan bantahan mendesak Presiden Hosni Mubarak segera berundur terus meningkat meskipun pemerintah mengumumkan rancangannya mahu melihat peralihan kuasa secara aman.

Presiden Mubarak pula mahu mengekalkan jawatannya sehingga September ini dan berjanji tidak akan bertanding semula buat penggal keenam.

Encik Biden dikatakan memberitahu Encik Suleiman agar segera melaksanakan perubahan politik dan 'tidak boleh ditarik balik'.

Namun, Encik Suleiman memberi amaran bahawa pembaharuan yang dijalankan secara tergesa-gesa akan mencetuskan 'huru-hara' di negara itu.

Kenyataan Rumah Putih menyebut Encik Biden dan Encik Suleiman mengadakan beberapa perbincangan sebagai menyokong usaha pembaharuan di Mesir selepas kejadian tunjuk perasaan besar-besaran sejak hampir tiga minggu lalu.

Antara perkara yang disarankan ialah mengadakan dialog nasional yang lebih luas dengan parti pembangkang.Encik Biden juga memberitahu Menteri Dalam Negeri Mesir bahawa pihaknya harus menghentikan segera tindakan menahan dan memukul pemberita dan membenarkan kebebasan berhimpun.

Laporan BBC menyebut inilah kali pertama sejak kebangkitan rakyat 25 Januari lalu Washington membuat tuntutan secara khusus yang terbuka.

Laporan media asing juga menyebut peningkatan bantahan menunjukkan langkah diumumkan kerajaan Mesir sejak beberapa hari lalu tidak mencukupi.

Tunjuk-tunjuk perasaan juga menyaksikan kehadiran ramai penunjuk perasaan di Iskandariah dan beberapa bandar lain.

Buat masa ini Encik Mubarak telah menubuhkan jawatankuasa yang mengesyorkan pindana perlembagaan.Antara pindaan yang dikaji ialah mengehadkan tempoh mandat presiden.

Pertubuhan Human Rights Watch (HRW) melaporkan seramai 297 orang terbunuh sejak 28 Januari lalu.

Sementara itu, di Kahirah, beratus-ratus ribu penduduk terus berhimpun di Dataran Tahrir semalam dan berikrar akan kekal sehingga Encik Mubarak meletak jawatan.

'Jangan rasa penat. Jangan rasa penat. Kebebasan tidak akan datang secara percuma,' laung seorang penunjuk perasaan melalui pembesar suara untuk memberi semangat kepada penunjuk perasaan yang lain. -- AFP.

No comments:

Posting Terkini