Pages

Saturday, January 22, 2011

Presiden sementara ikrar 'putus talian' dengan rejim lama


KEMBALI KE TANAH AIR: Pemimpin politik yang kembali ke Tunisia selepas 20 tahun hidup dalam buangan di Perancis, Encik Moncef Marzouki, disambut penyokongnya di bandar Sidi Bouzid, kelmarin. -- Foto AP



TUNIS: Presiden sementara Tunisia berjanji akan 'memutuskan pertalian' dengan rejim lama, di samping menawarkan pengampunan kepada tahanan politik dan memberi kebebasan media.

Berucap buat kali pertama kepada rakyat selepas mengangkat sumpah sebagai pemimpin negara itu Sabtu lalu, Encik Foued Mebazaa juga berikrar akan mewujudkan sistem perhakiman bebas dan adil.

'Bersama, kita akan membuka lembaran baru sejarah negara kita,' kata beliau kelmarin.


Kabinet baru Tunisia dijadual mengadakan mesyuarat pertama mereka semalam sedang bantahan masih berterusan bagi menuntut Parti Pergerakan Institusi Demokratik (RCD) pimpinan presiden yang diguling, Encik Zine El Abidine Ben Ali, disingkir daripada pemerintah campuran baru.

Bagi meredakan ketegangan, lapan menteri pemerintah campuran daripada RCD semalam mengumumkan telah keluar daripada parti itu.

Semalam, seramai 33 saudara- mara Encik Ben Ali telah ditangkap dan barang kemas, jam tangan serta kad kredit mereka antara barang yang dirampas polis.

Dalam pada itu, Amerika Syarikat menggesa pemerintah sementara Tunisia supaya mewujudkan sistem demokrasi sebenar.

'Rakyat Tunisia telah bersuara. Pemerintah sementara harus mewujudkan peralihan sebenar dalam usaha mencapai demokrasi. Amerika Syarikat akan membantu,' kata jurucakap Jabatan Negara Amerika, Encik Philip Crowley.

Kelmarin, rundingan berkaitan penyertaan kesatuan sekerja utama, UGTT, dalam pemerintah campuran baru gagal ekoran peletakan jawatan empat menteri.

'Kami tidak boleh menyertai sebuah pemerintah yang mempunyai simbol rejim lama,' kata Setiausaha Agung UGTT, Encik Abdessalem Jrad, selepas bermesyuarat dengan Perdana Menteri, Encik Mohammed Ghannouchi.

Sementara itu, bekas pemimpin parti pembangkang negara itu yang baru dilantik menjadi menteri, Encik Ahmed Nejid Chebbi, berikrar akan meletak jawatan sekiranya pilihan raya bebas dan adil tidak dilaksana.

Menteri Pembangunan Wilayah itu berkata faktor pendekatan Islam secara sederhana mampu memainkan peranan dalam arena politik negara itu.

'Sudah pasti saya akan meletak jawatan jika saya mula sangsi pilihan raya yang bakal diadakan dalam tempoh enam atau tujuh bulan mendatang tidak dijalankan secara bebas dan adil.

'Bukan saya seorang saja yang akan meletak jawatan - semua orang yang menyertai pemerintah campuran baru ini akan meletak jawatan jika pilihan raya ini tidak adil dan bebas, atau apa yang kita putuskan tidak akan dilaksana segara,' katanya. -- AFP, Reuters, AP.

No comments:

Posting Terkini