KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat akan menimbulkan beberapa isu pilihan raya seperti undi proksi (proxy voting), undi pos, pendaftaran secara automatik dan kedudukan persempadanan semula dalam pertemuan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 24 Januari ini.
“Pertemuan itu akan diadakan di ibu pejabat SPR di Putrajaya selepas kami mengemukakan permohonan pada 17 Disember lalu dan dipersetujui SPR,” kata Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali kepada para pemberita dalam satu sidang media di ibu pejabat parti itu di sini petang tadi.
Mengenai undi proksi, Mustafa berkata PR sepakat menolak kaedah ini kerana jelas bertentangan dengan konsep demokrasi memandangkan individu yang menjadi wakil itu akan dikhuatiri akan menyalahgunakan hak pengundi sekaligus menghapuskan hak kerahsiaan seseorang pengundi berdaftar.
“Kita bimbang bukan orang sebenar yang akan melakukannya tetapi orang upahan yang akan mengundi. Ini semacam hendak ‘menghalalkan’ undi hantu. Sudah nampak ada niat sesuatu di situ walaupun SPR menegaskan undi proksi hanya satu cadangan,” katanya.
Kem tentera di setiap kawasan parlimen
Selain itu, Mustafa berkata dalam pertemuan itu PR juga mahu mendapat penjelasan tentang isu pengundi pos terutamanya wujud cadangan yang mahu mewujudkan kem tentera di setiap kawasan parlimen seperti yang pernah dinyatakan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Selain itu, Mustafa berkata dalam pertemuan itu PR juga mahu mendapat penjelasan tentang isu pengundi pos terutamanya wujud cadangan yang mahu mewujudkan kem tentera di setiap kawasan parlimen seperti yang pernah dinyatakan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata jika benar kem tentera wujud di setiap kawasan parlimen, pihaknya bimbang Barisan Nasional (BN) akan memanipulasinya memandangkan undi pos dijadikan BN sebagai ‘deposit tetap’ setiap kali pilihan raya berlaku.
“Ada bukti soal undi ini pernah dimanipulasi dan perlu diberi perhatian oleh SPR. Adakah dengan kewujudan kem tentera ini akan jadi pengundi pos atau undi biasa kita tidak tahu. SPR perlu menggariskan isu ini dengan jelas,” katanya.
Dalam masa yang sama, Mustafa berkata pihaknya juga akan membangkitkan tentang kedudukan persempadanan semula yang sudah habis lapan tahun tempohnya sejak kali terakhir diadakan pada tahun 2003.
“Kita mahu tahu sama ada persempadanan semula ini akan ada pertambahan atau pengurangan kerusi (Dun dan Parlimen) bagi setiap negeri. Jika ada pertambahan kerusi, maka perkara ini harus dibawa ke Parlimen untuk mendapat sokongan dua pertiga majoriti undi.
Tidak ada pertambahan kerusi di tiga negeri
“Tetapi agak menghairankan apabila mendapati Kedah, Kelantan, dan Terengganu tidak ada pertambahan kerusi sejak tiga kali persempadanan semula yang lalu walaupun negeri tersebut mengalami pertambahan penduduk.
“Mungkin kerana mereka tahu tiga negeri tersebut banyak menyokong PAS, jadi tidak ada sebarang perubahan besar kalau persempadanan semula dibuat di negeri-negeri berkenaan,” katanya.
Selain itu, menurut Mustafa, pihaknya juga akan membangkitkan tentang proses pendaftaran secara automatik yang pernah dicadangkan PR bagi memudahkan orang ramai yang sudah mencapai usia 21 tahun menjadi pengundi berdaftar apabila membuat kad pengenalan diri di Pejabat Pendaftaran Negara.
Tegas beliau, “tujuan utama untuk jumpa SPR adalah satu kelaziman untuk mengemas kini maklumat tentang apa yang SPR ubah mengenai peraturan pilihan raya yang dibuat, termasuk pilihan raya di Tenang nanti dan pilihan raya negeri Sarawak yang dijangka berlaku Julai akan datang.
“Kita nak kemukakan kepada SPR mengenai pandangan dan tuntutan kita supaya perjalanan pilihan raya menepati peraturan dan undang -undang secara adil, telus, dan bebas,” tambahnya.
Tidak ada pilihan raya yang adil
Katanya, “ini kerana apa yang kita dapati tidak ada pilihan raya yang adil, telus, dan bebas walaupun sudah 13 kali pilihan raya kecil sejak PRU12 pada tahun 2008.”
Menurut Mustafa, dalam pertemuan itu, PAS akan diwakili Pengarah Pilihan Rayanya Datuk Halim Abdul Rahman serta dirinya sendiri manakala PKR akan diwakili Naib Presidennya Fuziah Salleh serta Ahli Parlimen Subang R Sivarasa.
Sementara DAP pula diwakili Ketua Pemudanya Anthony Loke Siew Fook serta Ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong.
“Bagi pihak SPR, ahli jawatankuasa tertinggi termasuk pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof akan turut serta dalam pertemuan itu,” katanya.
No comments:
Post a Comment