TIDAK PUAS HATI: Penunjuk perasaan terdiri daripada para pelajar melempar batu ke arah polis semasa satu bantahan antipemerintah di Jakarta, semalam. Rapat turut diadakan di beberapa bandar lain sebagai tanda tidak puas hati kerana Presiden Susilo Bambang Yudhoyono gagal membasmi rasuah, membaiki rekod hak asasi dan mengukuhkan ekonomi. -- Foto AP
JAKARTA: Ribuan penunjuk perasaan semalam membaling batu dan kayu ke atas polis yang membalas dengan pancutan meriam air dan tembakan gas pemedih mata.
Kejadian itu berlaku menyusuli bantahan sempena ulang tahun pertama penggal pemerintahan kedua Presiden Indonesia, Dr Susilo Bambang Yudhoyono (SBY).
Pertempuran berlaku antara polis pencegah rusuhan dengan kira-kira 2,000 penunjuk perasaan yang terdiri daripada pelajar dan aktivis kesatuan sekerja di luar Istana Presiden di sini.
Pertempuran serupa turut berlaku di tempat lain di Jakarta dan beberapa bandar utama di pulau Jawa.
Di kejiranan Menteng di Jakarta, lebih 150 pelajar menyekat jalan raya dengan kayu dan tayar kereta yang dibakar.
Mereka bertempur dengan polis yang cuba mengalihkan sekatan tersebut dan membaling kayu dan batu ke arah polis.
Polis membalas dengan melepaskan tembakan gas pemedih mata dan tembakan amaran ke udara.
Seorang lelaki ditembak di kaki, manakala tiga yang lain diberkas.
'Mereka (polis) menolak kami selama beberapa minit sebelum tiba- tiba melepaskan tembakan. Saya dengar 10 das tembakan. Yang pertama ke udara, dan selebih ke arah kami,' kata seorang pelajar, Adi, 24 tahun.
'Seorang pelajar ditembak di kaki kanan dan dibawa ke hospital,' tambah beliau, ketika penunjuk perasaan membakar poster Dr Yudhoyono.
'Beliau (SBY) gagal membasmi rasuah,' kata seorang penunjuk perasaan bernama Rudi Daman.
Cik Yati Andriyani dari Komisi bagi Orang Hilang dan Korban Tindakan Kekerasan (Kontras) berkata Dr Yudhoyono tidak mengotakan janji pilihan raya untuk melindungi hak asasi.
'Ia cuma janji kosong,' katanya.
Jurucakap Pakatan Buruh Indonesia, Encik Hamid Istakhori, berkata: 'Kekayaaan dan kuasa kini berada di tangan segelintir kapitalis.'
Gerakan Mahasiswa Nasional Indonesia (GMNI) Jakarta mengkritik dasar pemerintah, terutama berhubung soal kedaulatan negara.
'Kedaulatan bangsa telah dimalukan bangsa lain, terutama kes perbatasan antara Indonesia dengan Malaysia, yang menunjukkan sikap yang tidak tegas SBY,' katanya.
Jurucakap polis Jakarta, Boy Rafli Amar, berkata: 'Kami terpaksa melepaskan tembakan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang membakar poster presiden.'
'Kami akan mengambil tindakan tegas jika mereka mula membakar kereta atau bangunan,' katanya.
Ribuan penduduk menyertai rapat lain di Jakarta, Bandung, Surabaya, Bogor dan Palu, tempat para pelajar bertempur dengan polis.
Di Makassar, ibu kota Sulawesi Selatan, 1,000 penunjuk perasaan membakar kereta dan menahan buat seketika seorang pegawai polis.
Ia merupakan kekacauan hari kedua di Makassar, tempat penunjuk perasaan melempar bom api ke atas polis sewaktu Dr Yudhoyono melawat bandar itu Selasa lalu.
Dr Yudhoyono memberi amaran kepada penunjuk perasaan itu supaya menyuarakan bantahan mereka dalam batas undang-undang dan tidak cuba menjatuhkan pemerintah.
'Demokrasi yang kita inginkan bukan yang menjerumus kita ke kancah fitnah dan anarki, yang akan merosak apa yang sudah kita bina,' kata Dr Yudhoyono seperti ditukil radio Elshinta.
Jurucakap presiden, Julian Aldrin Pasha, berkata penunjuk perasaan itu 'tidak mewakili pandangan seluruh rakyat Indonesia'. -- AFP, Bernama, Bloomberg.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment