Pages

Friday, June 25, 2010

Seludup pasir ke Singapura

JOHOR BAHRU: Pasir bernilai jutaan ringgit difahamkan dibawa keluar secara haram dari Malaysia setiap hari melalui Sungai Johor, di sini.

Malah, kegiatan itu berjalan sejak tiga tahun lalu, lapor sebuah akhbar setempat semalam.

Akhbar harian berbahasa Inggeris, The Star, melaporkan bahawa sepasukan wartawan penyiasatnya, yang dinamakan Starprobe, yang ditugaskan menyiasat dagangan yang amat menguntungkan itu, mendapati pasir tersebut dibawa ke Singapura.

Meskipun terdapat pengharaman mengeksport pasir yang dikuatkuasakan kerajaan Malaysia.

Kerja-kerja melombong pasir memang biasa dilihat dilakukan di sepanjang sungai itu sedang sindiket-sindiket perlombongan mengangkut jutaan tan pasir secara haram setiap hari, termasuk pada hujung minggu dan hari cuti awam, melalui Danga Bay dan Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Dalang-dalang itu menggunakan baj-baj dan melalui perairan antarabangsa dari Kota Tinggi dan Ulu Tiram sebelum tiba di pelabuhan-pelabuhan setempat untuk dihantar ke Singapura.

Siasatan itu mendedahkan bahawa baj-baj tersebut belayar ke arah sebatang jeti swasta di Pulau Punggol Timur di Singapura, tempat pasir itu dipunggah.

Sebuah syarikat Singapura, yang mendapatkan pasir daripada rakan kongsinya di Malaysia, membekalkan bahan binaan itu kepada Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Singapura bagi menangani projek-projek binaan di negara itu, kata laporan The Star itu.

Lawatan pasukan Starprobe ke tempat pendaratan itu mendedahkan bahawa pasir daripada baj-baj itu dipunggah ke dalam trak-trak sebelum dibawa ke sebuah kawasan simpanan.

Jeti di Pulau Punggol Timur itu dipercayai hanya digunakan untuk membekal pasir.

Jeti swasta itu dipenuhi dengan timbunan pasir, kebanyakannya dari Malaysia dan beberapa negara jiran, tambah laporan itu.

Bagi memintas langkah pengharaman kerajaan Malaysia terhadap eksport pasir itu, sindiketsindiket tersebut dipercayai mengeksport bahan-bahan binaan yang mempunyai permintaan tinggi itu sebagai pasir silika yang sudah diproses atau dibungkus - barangan yang dibenarkan untuk dieksport.

Dengan memperolehi pasir daripada rakan niaga Malaysianya, syarikat Singapura itu dapat meraih keuntungan besar kerana ia hanya perlu membayar $30 bagi setiap meter padu pasir berbanding dengan $40 bagi jumlah pasir yang sama dari Thailand, Vietnam dan kemboja, kata The Star.

Dianggarkan lebih tiga juta meter padu pasir diseludup melalui Sungai Johor sejak Ogos 2007.

Sindiket-sindiket itu pula dianggarkan mengaup pendapatan RM44.9 juta ($19.3 juta) daripada penjualan 652,000 meter padu pasir sejak empat bulan lalu.

Ini bermakna mereka berupaya mengaup sejumlah RM251.9 juta dalam bentuk jualan pasir secara haram ke Singapura sejak tiga tahun lalu, jelas laporan akhbar itu.





No comments:

Posting Terkini