Pages

Sunday, June 27, 2010

11 maut dalam kebakaran di kelab malam

API MENJILAT KETIKA PERLAWANAN BOLA SEPAK PIALA DUNIA DITAYANGKAN: Anggota pasukan bomba Indonesia memindahkan mayat seorang mangsa menyusuli kebakaran sebuah kelab malam di Surabaya, Jawa Timur, kelmarin. - Foto AFP

SURABAYA: Sebelas orang terkorban dalam satu kebakaran yang meranapkan sebuah kelab malam di Surabaya, ibu kota wilayah Jawa Timur, kelmarin.

Seorang warga Australia dan seorang warga Jepun termasuk antara mangsa yang mati dalam kebakaran itu, kata pegawai polis, Leftenan Kolonel Bahagia Dachi.

Polis mengenal pasti ekspatriat rakyat Australia itu sebagai Encik Peter Koon Ho Lee, 35 tahun, dan warga Jepun itu sebagai Encik Yoshifumi Chiba, 36 tahun.

Seorang wanita yang dilaporkan melahirkan seorang bayi semasa tragedi berlaku turut terkorban bersama bayinya, lapor laman berita akhbar Jakarta Globe.

Beberapa saksi memberitahu polis bahawa kebakaran awal pagi Jumaat itu berpunca daripada api rokok.

Menurut laporan, Redboxx Cafe terbakar sekitar 3.30 pagi sewaktu beratus orang memenuhi kelab malam di pusat bandar Surabaya itu untuk menonton siaran langsung perlawanan bola sepak Piala Dunia.

Pasukan bomba mengambil masa beberapa jam untuk mengawal kebakaran.

Leftenan Kolonel Dachi berkata lima mangsa berada dalam kedaan kritikal di hospital.

Menurut beliau, angka korban mungkin meningkat kerana pekerja penyelamat masih mencari mangsa yang mungkin terperangkap di bawah bumbung kelab malam yang roboh di tingkat dua. -- AP.



No comments:

Posting Terkini