SABOTAJ: Seorang pegawai polis meninjau gerabak kereta api yang terbalik dalam satu kemalangan semalam. -- Foto AP
CALCUTTA: Sebuah kereta api ekspres sarat dengan penumpang yang sedang nyenyak tidur tergelincir serta berlanggar dengan kereta api membawa barang semalam.
Ini menyebabkan sekurang-kurangnya 65 orang terkorban.
Kejadian yang turut menyebabkan lebih 200 penumpang cedera itu didakwa angkara kumpulan pemberontak Maoist.
Agensi berita Press Trust of India melaporkan 13 gerabak penumpang kereta api dalam perjalanan ke Mumbai itu tergelincir selepas satu letupan awal pagi semalam.
Gerabak itu kemudian dilanggar sebuah kereta api barang.
Kereta api penumpang dari Calcutta itu sedang melalui kawasan yang sering diserang pemberontak Maoist India.
Menteri Perkhidmatan Kereta Api, Encik Mamata Bennerjee, yang bergegas ke tempat kejadian berkata beliau dimaklumkan bahawa kejadian itu berlaku selepas satu letupan kuat meletus di landasan.
'Kami bimbang jika kemalangan ini adalah angkara kumpulan pemberontak Maoist,' kata Encik Bennerjee kepada pemberita.
Seorang pegawai kanan perkhidmatan kereta api, Encik Vivek Sahay, berkata:
'Pemandu kereta api terdengar bunyi bising yang menunjukkan mungkin berlaku satu letupan. Siasatan terperinci akan dijalankan tetapi saya pasti landasan kereta api itu telah dikacau. Ini jelas satu sabotaj.'
Seorang wartawan akhbar Telegraph, Cik Naresh Jana, yang berada di tempat kejadian, berkata:
'Para penyelamat sedang bertungkus lumus untuk mengeluarkan penumpang yang terperangkap di dalam gerabak.
'Saya nampak tubuh manusia terjuntai keluar dari tingkap kereta api dan di bawah roda. Saya boleh dengar suara orang, wanita, terpekik meminta tolong dari dalam gerabak.'
Seorang wartawan setempat, Encik Amitava Rath, pula berkata:
'Tangisan wanita dan kanak-kanak dari dalam gerabak sudah tidak kedengaran lagi. Mereka masih cuba memotong besi dan cuba mengeluarkan penumpang yang masih terperangkap.'
Kemalangan itu berlaku selang beberapa hari sebuah pesawat terhempas di selatan India, menyebabkan 158 orang terkorban.
Sebelum ini, para pemberontak Maoist sering menyerang polis, bangunan pemerintah dan prasarana seperti stesen kereta api.
Kumpulan Maoist ingin mengguling pemerintah melalui pemberontakan bersenjata menjelang 2050.
Mereka telah menggiatkan serangan sejak beberapa bulan lalu selepas pasukan keselamatan pemerintah melancarkan serang balas bagi menumpaskan kumpulan yang bersembunyi di kawasan hutan itu. -- AFP, AP, Reuters.
Saturday, May 29, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment