Pages

Wednesday, March 31, 2010

Sembilan militia Kristian di AS didakwa rancang pemberontakan

DETROIT: Sembilan anggota sebuah kumpulan militia Kristian didakwa dengan pertuduhan merancang komplot membunuh polis di Michigan dan memberontak terhadap pemerintah, kata pendakwa federal kelmarin.

Menurut pendakwaan yang di dedahkan di Mahkamah Daerah Michigan Timur, lapan lelaki dan seorang wanita, yang menjadi anggota kumpulan militia Hutaree, merancang membunuh seorang pegawai polis di Michigan, kemudian menyerang hendap pegawai penguatkuasa yang menghadiri upacara pengebumiannya dengan menggunakan bom buatan sendiri.

Menurut pendakwaan itu, kumpulan Hutaree yang bermaksud 'perwira Kristian' percaya serangan itu akan menjadi mangkin bagi satu pemberontakan besar-besaran terhadap pemerintah.

Ejen Biro Siasatan Federal (FBI) bertindak segera ke atas militia Hutaree pada hujung minggu lalu kerana mereka bercadang melancarkan satu serangan April ini, kata para pegawai pendakwa.

Pihak berkuasa merampas senjata api tetapi enggan menyatakan sama ada bahan letupan turut dijumpai.

Tujuh lelaki dan seorang wanita diberkas hujung minggu lalu di Michigan, Indiana dan Ohio, manakala suspek kesembilan ditahan di selatan Michigan Isnin lalu.

Anggota Hutaree itu menghadapi pertuduhan menghasut, percubaan menggunakan senjata pemusnah, mengajar cara menggunakan bahan letupan dan memiliki senjata api.

Mereka yang didakwa termasuk ketua militia, David Brian Stone, 45 tahun; yang dikenali sebagai 'Kapten Hutaree' dan 'Joe Stone'; isterinya, Tina Stone, 44 tahun; anak lelakinya, Joshua Matthew Stone, 21 tahun, dan David Brian Stone Jr, 19 tahun; Joshua Clough, 28 tahun; Michael Meeks, 40 tahun; Thomas Piatek, 46 tahun; Kristopher Sickles, 27 tahun; dan Jacob Ward, 33 tahun.

Mereka semua boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Satu sidang penahanan dan pendakwaan akan diadakan hari ini (Rabu).

Satu video yang disiarkan pada laman web kumpulan itu menunjukkan sekumpulan orang dengan kelengkapan tentera membakar bendera Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) dan menggantikannya dengan bendera Hutaree.

Kumpulan itu memberi amaran tentang kedatangan Anti-Christ (Dajjal) dan The Beast (Dabbah) dan menukil ayat dari Bible yang berkata 'Jesus mahu kami bersiap untuk mempertahankan diri.' - Agensi.





No comments:

Posting Terkini