Pages

Friday, January 22, 2010

Lembing mata tiga ditemui di rumah tertuduh

SHAH ALAM: Seorang pegawai polis memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau menjumpai sebilah lembing besi bermata tiga ketika melakukan pemeriksaan di rumah tertuduh kes bunuh pembantu rumah warga Indonesia, Muntik Bani pada 26 Oktober lalu.

Pegawai risikan dan operasi Cawangan Pencegahan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang, C/Insp Azman Tubin, 34, berkata senjata itu ditemui di atas rak dalam sebuah bilik yang dijadikan tempat beribadat (untuk penganut agama Hindu).

"Lembing itu bengkok. Sepanjang pengetahuan saya lembing ialah satu senjata berbahaya dan bukan satu alat yang digunakan dalam upacara sembahyang penganut agama Hindu," katanya semasa menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar pada hari kelima perbicaraan kes A Murugan, 35, yang didakwa membunuh Muntik, 40.

Tertuduh, penjual air tebu, didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di nombor 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang, antara 18 dan 20 Oktober tahun lalu dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Muntik yang berasal dari Surabaya meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, pada 26 Oktober lalu setelah gagal bertindak balas terhadap rawatan yang diberikan.

Azman berkata, dalam pemeriksaan yang turut disertai beberapa anggota dan pegawai polis serta tertuduh, beliau turut menemui sebatang kayu bulat dan sebatang rotan di luar pagar depan rumah tertuduh dan menemui seberkas penyapu lidi, sebatang paip getah serta sebatang penyapu yang bengkok di dapur rumah.

Saksi ke-15 pendakwaan itu berkata semua peralatan itu dirampas dari rumah tertuduh berdasarkan kepada maklumat yang diterima daripada pegawai penyiasat bagi kes penderaan pembantu rumah itu, Insp Mohd Azan Radzali, bahawa kebanyakan kecederaan yang dialami oleh Muntik berpunca daripada pukulan benda keras dan tumpul.

"Saya bantu Insp Azan melakukan pemeriksaan di rumah tertuduh kerana hendak dapatkan bukti-bukti yang dapat dikaitkan dengan kecederaan yang dialami oleh Muntik iaitu objek yang keras dan tumpul," katanya.

Seterusnya, Azman berkata semua peralatan yang dirampas disimpan dalam pejabatnya sehingga diserahkan kepada pembantu pegawai penyiasat, ASP Ahmad Tarmudi, yang mengambil alih siasatan kes daripada Mohd Azan pada 27 Oktober lalu.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa bersambung Isnin ini. - Bernama

No comments:

Posting Terkini