Pages

Sunday, January 3, 2010

Kalimah Allah: MP Zul-Khalid cabar keluar parti masing-masing

PETALING JAYA, Jan 3 — Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu rakan sejawatannya dari PAS, Khalid Samad (gambar) agar keluar parti itu ekoran perbezaan pandangan berhubung isu penggunaan kalimah “Allah” oleh akhbar mingguan Herald.

Sehubungan itu Zulkifli menyarankan Khalid menyertai parti lain DAP — ekoran pendirian beliau didakwa mempertahankan alasan masyarakat bukan Islam khususnya Kristian Katolik dalam penggunaan kalimah “Allah”.

Khalid pula mengecam Zulkifli tiada ‘locus standi’ untuk bercakap tentang pendirian beliau dan dasar PAS sama sekali.

“Beliau tiada locus standi untuk bercakap berkaitan soal PAS. Kalau mahu bercakap mengenai pendirian saya sebagai ahli PAS dan PAS sendiri, saya minta beliau keluar PKR dan menyertai PAS, kemudian bercakap tentang ini,” kata beliau.

Khalid yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam memberitahu beliau tidak mahu mengambil “peduli sangat” kenyataan Zulkifli.



“Saya tidak mahu ambil kisah apa yang beliau cakap, orang lain saya tidak tahu,” kata beliau mengulas pendirian Zulkifli yang mahu bermufaraqah atau berpisah daripada Khalid ekoran pendiriannya.

“Bagaimanapun saya menghormati prinsip bahawa setiap orang berhak untuk memberikan pandangan... tetapi bagi saya tidak ada benda (tidak kisah dengan pendirian Zulkifli),” katanya.

Khalid juga menambah pandangan dikemukakan Zulkifli sendiri telah menurunkan contoh di mana bukan Islam ada menggunakan kalimah “Allah”.

Pemberian contoh di mana bukan Islam ada menggunakan perkataan “Allah” dengan sendiri mematahkan hujah yang dikemukakan oleh Zulkifli, kata Khalid.

“Apa yang saya mengatakan ialah bukan Islam ada menggunakan perkataan Allah dan umat Islam pun menggunakan perkataan Allah.

“Tetapi yang membezakan kedua-dua umat Islam dan bukan Islam ialah konsep tauhid iaitu soal keesaan Allah (yang menjadi pegangan umat Islam),” kata Khalid lagi.

Dalam komen beliau di blognya kelmarin Khalid berkata beliau telah menerima banyak maklum balas berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang telah memutuskan larangan Kementerian Dalam Negeri terhadap penggunaan perkataan “Allah” adalah tidak sah.

“Sehubungan itu, pihak kami ingin menyiar kembali pendirian YB Khalid berhubung perkara ini yang telah disiarkan dalam blog ini pada bulan Mac 2009 yang bertajuk: Ismu Allah,” katanya.



Menerusi tulisan blognya pula, Zulkifli yang lazimnya dilihat sebagai wakil rakyat lantang bersuara dalam isu-isu agama berkata:

“Malahan saya akan pergi lebih jauh dan menyeru YB Khalid supaya menimbang semula keahlian beliau dalam PAS, sebaliknya saya mencadangkan kepada YB Khalid supaya menimbang menyertai parti lain pilihan beliau, termasuk DAP.

“Ini adalah kerana saya lihat tindak tanduk YB Kahlid akhir-akhir ini, terutamanya sejak diberi anugerah dan amanah oleh Allah menduduki kerusi empuk Parlimen Shah Alam, lebih banyak yang merosakkan nama dan imej PAS sebagai parti yang memperjuangkan Islam.”

Zulkifli mendakwa Khalid merupakan orang yang memalukan PAS termasuk Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang apabila menarik balik usul yang diluluskan pada Muktamar Agung PAS Jun lalu, yang mengkritik Sisters In Islam setelah segelintir golongan membantah usul tersebut.



“Beliau mendakwa berlaku kesilapan walaupun setelah muktamar agung PAS menerima dan meluluskannya dan YB Presiden telah membuat tindakan susulan berdasarkan usul tersebut,” katanya.

Selain itu kata beliau Khalid mengambil sikap menyokong tindakan penganut Hindu untuk membina kuil di Seksyen 23, kawasan perumahan yang majoritinya orang Melayu beragama Islam walaupun sudah ada tapak gantian di Seksyen 18 Shah Alam.

“Orang Melayu yang membantah dan memprotes dikritik oleh beliau dan diberi pelbagai macam label,” katanya.

Zulkifli juga mendakwa Khalid turut memalukan PAS apabila mengakui kewujudan amalan lafaz bai’ah untuk menceraikan isteri dengan talak tiga jika keluar PAS.

“Walaupun pimpinan PAS telah menegur dan cuba menafikan isu itu, beliau tetap berkeras mengakuinya sehingga menjejaskan imej PAS khususnya di kalangan wanita Islam.

“Jadi saya melihat tindak tanduk dan sikap yang ditunjuk oleh YB Khalid ini tidak selaras dengan perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS,” kata Zulkifli.

Malahan katanya, respons yang diterima jelas menunjukkan ada orang Melayu yang beragama Islam mula mempertikaikan perjuangan PAS dalam memartabatkan Islam kerana ujudnya karektor-karektor seperti Khalid.

“Saya sendiri dihujani dengan pelbagai kritikan kerana dilihat bersekongkol dengan YB Khalid kerana beliau duduk di barisan YB Pakatan Rakyat.

“Maka ingin saya perjelaskan kepada umat Islam khususnya, dan rakyat umumnya bahawa saya bermufaraqah pendirian dengan YB Khalid dan saya tidak reda apatah lagi bersekongkol dengan beliau dalam pandangan-pandangan dan sikap beliau yang pada pendapat saya bercanggah dengan prinsip perjuangan Islam yang saya yakini,” katanya lagi.

No comments:

Posting Terkini