Pages

Sunday, December 6, 2009

Wakil Tetap Malaysia di PBB dipanggil pulang

KUALA LUMPUR: Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Vienna dipanggil pulang oleh Menteri Luar untuk konsultasi berhubung pengundian terhadap resolusi berkaitan isu nuklear Iran yang diluluskan mesyuarat Lembaga Gabenor Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di Austria, bulan lalu.

Menurut kenyataan Kementerian Luar di sini, hari ini pengundian itu dilihat tidak selaras dengan tatacara kerajaan dan oleh itu wakil berkenaan dipanggil pulang oleh Menteri Luar untuk konsultasi.

Dalam mesyuaratnya pada 27 November lalu, Lembaga Gabenor IAEA meluluskan resolusi bertajuk "Resolution on Implementation of the Nuclear Non-Proliferation Treaty (NPT) Safeguards Agreement and relevant provisions of United Nation''s Security Council (UNSC) resolutions, 1737 (2006); 1747 (2007); 1803 (2008) and 1835 (2008) in the Islamic Republic of Iran" (Resolusi Mengenai Pelaksanaan Triti Pengawalan Nuklear (NPT) Perjanjian Perlindungan dan peruntukan berkaitan resolusi-resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) 1737 (2006); 1747 (2007); 1803 (2008) dan 1835 (2008) di Republik Islam Iran) yang dibentangkan Jerman dan disokong 25 negara anggota IAEA.

Malaysia bersama-sama Cuba dan Venezuela mengundi menentang resolusi itu manakala enam negara lain berkecuali.

"Malaysia sedang mengkaji hasil keputusan resolusi berkenaan dan kesannya. Kita akan berusaha untuk terus bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa agar isu nuklear Iran dapat ditangani dengan lebih berkesan.

"Dalam hal ini, kita akan berbincang dengan negara anggota Lembaga Gabenor IAEA serta negara anggota PBB," demikian menurut kenyataan itu. - Bernama

No comments:

Posting Terkini