Pages

Tuesday, December 15, 2009

Pakatan: Perubahan konkret dan struktural

DIS 15 — Dis 19 ini adalah detik bersejarah. Harapan untuk perubahan umpama sinar matahari yang berada di muka pintu rumah kita saban pagi. Pemimpin akar umbi dari tiga parti — PKR, PAS dan DAP — buat pertama kalinya akan duduk bersama meninjau kemungkinan untuk menjadi sebuah gabungan rasmi yang akan bertentang mata satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN).

Perubahan justeru memerlukan bahasanya. Kita sekian lama telah mendengar slogan demi slogan. Setidak-tidaknya, tiga Pilihanraya Umum yang kita tempoh sejak tercetusnya Reformasi 1998, menjadikan rakyat dan pendokong perjuangan ini mulai mengerti apa maknanya perjuangan dan “Politik Baru” yang sering kita laungkan.

Antara lain, kita menjunjung tinggi Kedaulatan Rakyat, sepertimana yang termaktud di dalam Perlembagaan. Kita menolak perjuangan politik yang berasaskan kaum, dan saya percaya di atas keinsafan ini, maka kita bergerak ke arah membentuk sebuah gabungan yang menolak faham perkauman sempit, assabiyah dan pergeseran yang tidak perlu antara penganut agama.

Kita mahu jadi kita. Kita mahu menjadi lain daripada Umno-BN. Seraya itu, sebelum sampai ke dewan Konvensyen, para pemimpin ketiga parti wajar menghayati erti sebenar keadilan dan kebebasan. Ikrar bersama ialah untuk memelihara prinsip-prinsip itu, tak kira bila dan sampai bila-bila.

Lihat bagaimana kuasa politik telah begitu besar dan mencengkam kuasanya sehingga pinggan-mangkuk majlis kahwin di kampung-kampung pun dicop dengan lambang parti politik. Apakah kita apabila berkuasa nanti, akan melaksana method politik yang mengongkong sedemikian rupa? Kalau begitu, sesungguhnya apa bezanya kita dengan Umno-BN?

Kelainan yang kita cari daripada Umno-BN, adalah kelainan yang perlu… bukan sekadar untuk menjadi lain dari yang lain. Kerana itu, prinsip keadilan sebagai objektif tertinggi tuntutan politik wajar diberi perhatian, dan tidak boleh digalang-ganti.

Perlulah kita di dalam Pakatan Rakyat menolak cara politik usang Umno-BN. Antara isu besar yang dideritai dan menjadikan politik Malaysia sukar tumbuh dengan matang, misalnya adalah pembahagian wang peruntukan kepada wakil rakyat yang dipilih. Kita insafi bagaimana kepayahan apabila ada calon Pakatan Rakyat menang di kawasan di sesebuah negeri yang tidak diperintah oleh Pakatan Rakyat, maka wang peruntukan itu tidak diberikan oleh kerajaan Barisan Nasional negeri kepada wakil rakyat kita.

Lalu, adalah wajar kita mengenepikan cara politik tidak yakin diri begini. Kita kata, kita hormat keputusan rakyat. Lalu, apabila diberi kesempatan memerintah di beberapa negeri, kita wajar tonjolkan prinsip keadilan yang sebenar dan apa yang saya sebutkan di atas tadi, sebagai “berbeza daripada Umno-BN”.

Kerajaan Pakatan Rakyat haruslah bertekad untuk kembalikan hak rakyat kepada rakyat. Kita harus berjanji bahawa kita akan memberikan peruntukan kepada wakil-wakil rakyat yang bukan di kalangan kita, yang dipilih oleh rakyat kerana ianya hak rakyat, dan kerana itu kita akan hormatinya di atas prinsip kita berpegang kepada makna keadilan yang sebenar. Perjuangan baru memerlukan besar jiwa dan kebijaksanaan.

Begitu juga keluhan kita selama ini tentang tender tertutup yang diamalkan oleh rejim lama. Mengapa tidak, mengapa terlalu sukar untuk Pakatan Rakyat mengamalkan kaedah politik baru bahawa tidak akan ada lagi tender tertutup sepertimana dahulu. Tak usah tunggu untuk sampai ke Putrajaya…

Sekali lagi dengan kuasa di negeri-negeri yang kini dikuasai Pakatan Rakyat, semua projek kerajaan negeri perlu melalui tender terbuka. Tidak kira berapa nilainya. Kecil atau besar. Itulah yang dinamakan ketelusan dan integriti.

Dua contoh ini, paling tidak akan menjadikan rakyat semakin celek. Kita tahu dan kita tidak terlalu naïf melihat gelagat sesetengah pemimpin Umno-BN, yang tidak akan berubah perlakuan ganas dan bengis politik mereka. Kita tahu mereka akan menggunakan peluang ini dan mereka anggap sebagai “kelemahan” Pakatan Rakyat. Itu bukan soalnya.

Soalanya sekarang adalah antara kita-dengan-rakyat; antara kita-dengan-amanah. Andai Konvensyen Pertama hujung minggu ini menjadi pertemuan pertama antara tiga parti, ayuhlah jadikan pertemuan ini bukan sekadar seperti acara ritual.

Kesempatan ini perlu digunakan untuk sebuah perubahan yang struktural dan konkret dirangka. Saya percaya Pakatan Rakyat serius dan komited dengan agenda Reformasi. Kerana itulah dipilih slogan “Memimpin Perubahan, Menjana Kemenangan” sebagai tema pertama pertemuan rasaksa tiga parti ini.


*Datuk Kamarul Baharin Abbas adalah Pengerusi PKR Negeri Sembilan yang juga Ahli Parlimen Telok Kemang.

No comments:

Posting Terkini