ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menjatuhi hukuman gantung sampai mati ke atas seorang lelaki berusia 47 tahun selepas didapati bersalah mengedar ganja mampat seberat lebih 24 kilogram (kg) di Kulim, lapan tahun lalu.
Hakim Datuk Mohd Sofian Abdul Razak ketika menjatuhi hukuman ke atas Jaafar Sidek Darus yang juga seorang peniaga kedai makan, berkata tertuduh yang memilih untuk memberi keterangan membela diri di kandang tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap bukti dikemukakan oleh pendakwa.
"Tertuduh gagal membuktikan dua lelaki yang dikenali sebagai Yusuf dan Ahmad yang dikatakan memiliki kunci rumah sewa berkenaan turut mempunyai akses ke dalam rumah terbabit.
"Kenyataan tertuduh itu adalah memudaratkan dan mahkamah juga berpendapat tertuduh adalah penghuni rumah itu serta pemilik sebenar kepada dadah berkenaan.
"Sehubungan itu, mahkamah mendapati kamu bersalah dan tidak ada pilihan melainkan menjatuhi hukuman gantung sampai mati mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Jaafar Sidek dari dari Bagan Lalang, Sungai Puyuh,
Butterworth, Pulau Pinang dituduh mengedar ganja seberat 24,418 gram di rumah No 97, Lorong Tanjung Indah, Taman Tanjung Indah, Kulim pada jam 12.30 tengah hari 23 Februari 2001.
Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Tertuduh diwakili oleh Jagdeep Singh Deo, manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Ridha Abdah Subri.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment