Pages

Monday, March 9, 2009

Agong, Permaisuri berangkat ke Thailand

SEPANG: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah, hari ini berangkat ke Thailand sempena lawatan rasmi ke Thailand dan Vietnam.

Baginda berdua berlepas dengan menggunakan penerbangan khas di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini pada jam 2.15 petang.

Keberangkatan baginda berdua disambut dengan tabik hormat daripada Unit Istiadat Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja sebelum lagu kebangsaan 'Negaraku' dimainkan berserta tembakan 21 das meriam.

Turut hadir pada istiadat keberangkatan itu ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal; Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Seri Abdul Aziz Jaafar dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Baginda berdua akan membuat lawatan ke Thailand sehingga 12 Mac.

Lawatan negara itu dijangka memperkukuhkan hubungan persahabatan dan kerjasama antara Malaysia dan Thailand selain mencerminkan kepentingan yang mana Malaysia letakkan terhadap hubungannya dengan Thailand.

Pada 12 Mac, baginda berdua akan meneruskan lawatan ke Vietnam hingga 15 Mac.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, adalah menteri pengiring sempena lawatan baginda itu. - Bernama

No comments:

Posting Terkini