Rais: Teruskan banteras rasuah
PUTRAJAYA: Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Dr Rais Yatim, semalam berkata Jawatankuasa Disiplin Umno harus terus memainkan peranannya membanteras kegiatan rasuah dalam parti itu.
'Dari segi undang-undang sememangnya pihak berkuasa tentang korupsi, tumbuk rusuk atau jenayah rasuah terletak pada bahu SPRM.
'Namun demikian untuk membersihkan parti politik termasuk Umno, badan dalamannya itu harus dihormati juga. Jika tidak Jawatankuasa Disiplin Umno seperti bermulut tak bergigi nanti,' kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan dua penerbitan Kementerian Luar Malaysia di sini. -- Bernama.
Tak perlu ubah kaedah pilih PM
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat Malaysia semalam diberitahu bahawa tiada sebarang keperluan menukar kaedah pemilihan Perdana Menteri seperti yang sedang diamalkan di Malaysia ketika ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata sistem sedia ada bagi memilih Perdana Menteri berjaya menjamin keamanan, kemajuan dan kestabilan politik di Malaysia selama lebih 50 tahun. -- BHM.
Samad Said nafi diperalat PR
KOTA BHARU: Sasterawan Negara Malaysia, Datuk A. Samad Said, menafikan dirinya diperalat pembangkang dalam usahanya memperjuang bahasa Melayu dalam isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang digunakan sekarang.
Beliau berkata kehadirannya dalam siri ceramah pembangkang itu tidak seharusnya disalah anggap masyarakat kerana apa yang penting adalah memperjelas kepada umum dalam isu tersebut. -- Bernama.
Mayat lelaki ada kesan ditetak
KUALA LUMPUR: Mayat seorang lelaki dengan kesan tetakan di kepala dan kaki diikat dengan kain ditemui di tebing sebuah lombong di Kampung Lombong, Jalan Kebun dekat Shah Alam, semalam.
Mayat lelaki yang berpakaian lengkap dan berusia dalam lingkungan 40-an tahun itu ditemui oleh seorang pemancing yang melalui kawasan itu pada 8.25 pagi.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Radzi Ishak, berkata tiada pengenalan diri ditemui pada mayat lelaki itu. -- Bernama.
Jadi hartawan sekejap
STOCKHOLM: Seorang wanita di Sweden terkejut besar apabila mendapati akaun banknya bertambah sebanyak 10 bilion kronor ($1.73 bilion), menurut laporan akhbar kelmarin.
Cik Cornelia Johansson menyedari 'durian runtuh' itu Isnin lalu semasa hendak membayar bil menerusi Internet, lapor akhbar Goeteborgs-Posten.
Bagaimanapun, pada esoknya wang itu tiba-tiba lenyap penuh misteri, sebagaimana ia muncul. -- AFP.
Menteri sasaran e-mel palsu
LONDON: Setiausaha Kehakiman Britain, Encik Jack Straw, menjadi sasaran e-mel palsu yang dikirim atas nama beliau kepada kenalannya, yang mendakwa kononnya Encik Straw sangat memerlukan wang selepas terkandas di Lagos, Nigeria, menurut laporan semalam.
Encik Straw memberitahu akhbar Lancashire Telegraph bahawa e-mel palsu itu dikirim kepada para pegawai kementeriannya dan anggota Parti Buruh dan meminta AS$3,000 ($4,580) kerana beliau kononnya kehilangan beg duitnya ibu kota Nigeria itu.
E-mel dengan judul The Right Hon Jack Straw MP (Yang Berhormat AP Jack Straw) itu berkata: 'Saya kehilangan beg duit semasa balik ke hotel.' - AFP.
Korea Utara siap lancar satelit
SEOUL: Korea Utara semalam berkata semua persiapan berjalan licin bagi ia melancarkan sebuah satelit mengitari bumi sebagai sebahagian program angkasa lepasnya.
Pemimpin negara itu, Encik Kim Jong-Il, dilaporkan telah melawat tapak pelancaran roket tersebut di Musudan-ri, di timur laut Korea Utara.
Namun, Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan mengesyaki ia satu selindung bagi ujian peluru berpandu jarak jauh Taepodong-2 yang boleh mengenai sasaran di Amerika. -- AFP.
Ikrar tunjuk perasaan
ISLAMABAD: Parti Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N), yang dipimpin mantan perdana menteri Encik Nawaz Sharif, semalam berikrar mengadakan tunjuk perasaan di seluruh negara bagi membantah keputusan Mahkamah Agung melarang beliau dan saudara lelakinya, Encik Shahbaz Sharif, bertanding dalam pilihan raya.
Seorang pemimpin PML-N, Raja Zafarul Haq, memberitahu pemberita bahawa parti itu tidak akan menerima keputusan mahkamah dan isu itu akan dibangkitkan di parlimen. -- Agensi.
Thursday, February 26, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment