Pages

Sunday, February 8, 2009

Pendaftaran Online Bagi Pekerja Yang Diberhentikan

SHAH ALAM, 6 Februari - Perkhidmatan pendaftaran online bagi pekerja-pekerja di Selangor yang diberhentikan yang sebelum ini dicadangkan Jawatankuasa Tindakan Pemberhentian Pekerja bakal menjadi kenyataan.

Sehubungan itu, jawatankuasa yang dipengerusikan Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah mendapatkan perkhidmatan Syarikat Mesin Niaga sebagai penyedia teknologi dengan menggunakan sistem perisian IBM dalam pengumpulan data dan maklumat pekerja.

Perkhidmatan pendaftaran online ini diwujudkan bagi memudahkan kerajaan negeri menyalurkan bantuan yang sesuai kepada pekerja yang kehilangan pekerjaan.

Dalam hal ini, perkhidmatan online ini juga akan melengkapkan perkhidmatan pendaftaran manual yang akan bermula di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak lama lagi.

“Dua PBT akan dipanggil menghadiri mesyuarat minggu hadapan bagi mengenalpasti langkah-langkah yang telah dibuat bagi merealisasikan proses pengumpulan data yang akan diusahakan bersama Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pusat Zakat Selangor,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Menteri Besar.

Mesyuarat kedua Jawatankuasa Tindakan Pemberhentian Pekerja hari ini turut dihadiri syarikat agensi pekerjaan Jobstreet, anak syarikat kerajaan negeri, Selangor State Investment Centre (SSIC), Polis Draja Malaysia (PDRM), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kesatuan Pengilang Malaysia (FMM) dan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA).

JobStreet dalam taklimatnya menyeru kepada pekerja yang diberhentikan untuk menggunakan perkhidmatan yang telah disediakan oleh syarikat itu melalui http://my.jobstreet.com/retrench-helpline/.

Sementara itu menurut SSIC, seramai 451 pekerja telah menerima tawaran pemberhentian sukareka (voluntary separation scheme atau VSS) pada bulan Januari. Manakala 2,205 orang diberhentikan buat sementara sehingga ekonomi pulih semula.

SSIC dalam mesyuarat itu turut menyampaikan harapan pihak majikan agar kerajaan negeri dapat mengatur pertemuan dengan kerajaan pusat bagi mengurangkan tarif elektrik dan cukai-cukai tertentu, bagi mengurangkan beban kewangan sekaligus membolehkan lebih peruntukan disalurkan kepada pekerja-pekerja.

Dalam mesyuarat itu, kerajaan negeri turut diminta untuk mendapatkan maklumat mengenai pekerja asing yang diberhentikan.

Pihak polis dalam taklimatnya menyatakan yang pihaknya sedang memantau aktiviti pekerja asing yang telah diberhentikan. Untuk tujuan itu juga, pihaknya memerlukan maklumat mengenai pekerja yang diberhentikan.

“Jawatankuasa akan memanggil pihak Imigresen dan persatuan pengambilan pekerja asing untuk mendapatkan pandangan mereka tentang isu ini pada mesyuarat ketiga minggu hadapan.

“SSIC akan turut terlibat dalam mengumpulkan segala data-data dari semua syarikat berkaitan pekerja asing bagi tujuan rekod berkaitan jumlah pekerja asing di Selangor”.

Jawatankuasa ini turut dimaklumkan MTUC berkaitan soal penindasan pekerja tempatan di mana sesetengah pihak majikan dikatakan memberikan keutamaan kepada pekerja asing.

MTUC turut mendakwa kemerosotan ekonomi hanya dirasai oleh pekerja peringkat bawahan sedangkan pendapatan mereka di peringkat eksekutif berjalan seperti biasa.

Bagaimanapun pihak FMM memberi jaminan bahawa arahan bagi ahli-ahli FMM adalah untuk mengutamakan pekerja tempatan. Menurutnya lagi, potongan gaji juga telah dibuat kepada pekerja di peringkat eksekutif.

No comments:

Posting Terkini