Pages

Wednesday, January 28, 2009

Sindiket palsukan dokumen imigresen

BUTTERWORTH:Jabatan Imigresen Pulau Pinang manahan seorang lelaki dan wanita serta merampas pelbagai peralatan menghasilkan dokumen Imigresen palsu dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Bukit Tengah di sini semalam.

Pengarah Imigresen Pulau Pinang Abdul Rahman Harun berkata lelaki rakyat Myanmar berusia 27 tahun itu pernah ditahan kerana kesalahan yang sama Februari tahun lepas dan dijatuhkan hukuman sebelum dihantar balik ke negara asalnya.

"Lelaki yang tidak memiliki dokumen perjalanan diri itu dipercayai dalang utama sindiket itu dan dia masuk semula ke negara ini secara haram," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata wanita berusia 30 tahun itu pula ialah rakyat tempatan yang bekerja sebagai jurutera di syarikat swasta di negeri ini dan dipercayai kekasih lelaki Myanmar itu.

Abdul Rahman berkata berikutan tangkapan itu, pihaknya percaya dapat menumpaskan satu sindiket pemalsuan pelbagai jenis dokumen Imigresen yang didalangi rakyat asing yang beroperasi sejak tiga bulan lepas.

Beliau berkata dalam serbuan pada kirakira pukul 9 malam hasil maklumat orang ramai itu, pihaknya merampas pelbagai dokumen yang dipalsukan seperti pasport, pelekat pasport, kad pekerja asing, kad pelarian dan lesen memandu antarabangsa. Turut dirampas ialah dua buah kereta, komputer, pelekat keselamatan imigresen, alat pencetak, mesin pengimbas dan kertas, katanya.

"Pelbagai dokumen yang dihasilkan itu dijual dengan harga RM100 hingga RM150 dan sindiket itu dipercayai mengaut keuntungan RM100,000 sebulan," katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati sindiket itu turut dianggotai tiga lagi rakan lelaki berkenaan yang kini sedang dikesan.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata sebuah motosikal milik penguatkuasa jabatan itu didakwa dibakar tonto ketika operasi di sebuah pusat karaoke di Pulau Tikus dekat sini, Isnin lepas.

"Pihak berkenaan yang dipercayai mengawasi pusat karaoke itu tidak berpuas hati dengan operasi kami dan bertindak membakar sebuah motosikal milik penguatkuasa yang terlibat dalam operasi itu," katanya yang telah membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Beliau berkata dalam operasi pukul 9.30 malam itu, pihaknya menahan 23 wanita rakyat China dan seorang wanita Thailand yang menyalahgunakan pas perjalanan sosial dengan berkerja sebagai Pegawai Perhubungan Pelanggan (GRO) di karaoke itu. BERNAMA


No comments:

Posting Terkini