Pages

Monday, January 26, 2009

Malaysiakini -Kamunting lebih dahsyat daripada Guantanamo?

PETALING JAYA: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha untuk membawa pulang dua rakyat Malaysia yang sedang ditahan di penjara tentera Guantanamo tidak akan membawa manfaat sekiranya mereka tetap meneruskan hukuman di negara ini di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Beliau berkata, walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi jaminan bahawa dua tahanan tersebut akan dibawa pulang, Abdullah sepatutnya membebaskan tahanan ISA di negara ini terlebih dahulu.

"Jika Perdana Menteri konsisten dengan pendiriannya berhubung tahanan kita di penjara Guantanamo, tahanan JI (Jemaah Islamiah) yang ditahan selama tujuh hingga lapan tahun dan Hindraf yang dikurung tanpa perbicaraan di bawah ISA harus dibebaskan.

"Tiada manfaat membawa mereka (dua tahanan penjara Guantanamo) pulang jika mereka kemudiannya menjalani hukuman di bawah ISA.

"Jangan kita berdendang suara dan bergendang tentang hal negara lain jika kita juga mengamalkan sesuatu yang tidak mengikut undang-undang," katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR di sini, semalam.

Jumaat lalu, Abdullah berkata, Malaysia akan mendapatkan kebenaran daripada kerajaan Amerika Syarikat (AS) untuk membolehkan pegawai polis negara ini berjumpa dengan dua rakyat Malaysia yang sedang ditahan di penjara tentera Guantanamo yang telah diarahkan ditutup oleh Presiden Barack Obama.

Perdana Menteri berkata, Malaysia ingin tahu apa yang akan terjadi kepada dua warganegaranya itu yang merupakan antara kira-kira 250 tahanan di penjara kontroversi Guantanamo, kebanyakan telah ditahan beberapa tahun tanpa perbicaraan.

Katanya, jika dibenarkan, kerajaan mahu membawa tahanan tersebut pulang ke tanah air supaya mereka boleh menyambung menjalani hukuman mereka di Malaysia.

Dua rakyat Malaysia kini ditahan di penjara Teluk Guantanamo yang didakwa terbabit dengan JI dan Al Qaeda adalah Mohd Farik Amin atau Zaid ( Zubair) dan Mohammed Nazir Lep atau Bashir Lep (Lillie). Mereka ditangkap pada 2003.

Pentadbiran Bush mendakwa mereka perancang "ombak kedua" operasi untuk Al Qaeda bagi menyerang sasaran di Los Angeles.

No comments:

Posting Terkini