Pages

Thursday, January 29, 2009

BN perlu ramai calon popular

KUALA LUMPUR 28 Jan. - Barisan Nasional (BN) harus menampilkan calon popular atau disukai ramai jika ingin mengekalkan kemenangan parti itu pada pilihan raya umum akan datang.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, calon tersebut juga harus ditentukan oleh rakyat atau akar umbi untuk kemenangan parti itu.

Katanya, cadangan itu sememangnya sukar diterima oleh ketua-ketua bahagian kerana mereka tidak berpeluang menunjukkan kuasa untuk memilih bakal calon bagi kawasan masing-masing.

"Amalan melantik bakal calon selalu dibuat oleh pucuk pemimpin tetapi rakyat tidak puas hati kerana tidak sesuai dengan kehendak mereka.

"Inilah salah satu punca utama kekalahan UMNO dan komponen parti BN pada pilihan raya umum lalu," kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Datuk Razali Ibrahim supaya BN mengenal pasti dan menyenaraikan calon parti itu lebih awal untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang bagi memudahkan pengundi mengenali mereka.

Tambah Ahmad Atory, pada pilihan raya umum lalu, MIC telah membuat kejutan dengan menampilkan 15 muka baru atau 54 peratus daripada 28 calon parti itu untuk bertanding merebut kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Tetapi kesemua muka baru itu kalah teruk dan hanya beberapa orang yang popular seperti Datuk Dr. S. Subramaniam dan Datuk M. Saravanan mempertahankan kerusi masing-masing," jelasnya.

Dalam pada itu, penganalisis politik, Profesor Datuk Dr. Zainal Kling berkata, BN tidak seharusnya mengenal pasti dan menyenaraikan calon-calon parti itu lebih awal kerana apa-apa saja boleh berlaku dalam tempoh yang agak lama itu.

Maka, kata beliau, adalah lebih baik untuk memahami trend perkembangan semasa di dalam negeri atau luar negeri dalam masa terdekat ini sebelum mengambil langkah sedemikian.

"Parti komponen BN juga harus membuat analisis tentang perkembangan politik sebelum mengenal pasti bakal calon untuk bertanding pada pilihan raya umum nanti," jelas beliau. - Utusan

No comments:

Posting Terkini