Pages

Wednesday, January 28, 2009

BN Perak harus gesa Nasaruddin letak jawatan

PUTRAJAYA:Barisan Nasional (BN) Perak perlu melakukan gerakan besarbesaran bagi menggesa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota Datuk Nasaruddin Hashim meletakkan jawatan berikutan tindakannya melompat parti.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata kemenangan Nasaruddin pada pilihan raya lalu adalah di atas tiket BN, justeru keputusan beliau untuk melompat parti memusnahkan kepercayaan yang diberikan oleh pengundi di kawasan itu.

"Jika saya orang Perak, saya akan mula bentuk (gabungan) semua NGO dan ketua kampung sekarang menuntut peletakan jawatannya. BN Perak harus membuat keputusan seperti ini bagi menyedarkan rakyat.

"Kita ada beribu cawangan di Perak, cawangan Umno, Putera, Puteri, Pemuda, Wanita semua harus bersuara...Kalau setakat keluar di suratkhabar ia tidak akan memberi kesan," kata Menteri Luar itu.

Beliau turut menegaskan bahawa BN masih kuat dan masih boleh bangkit, dan mereka yang cuba melompat keluar dari BN akan menyesal sendiri setelah melihat kekuatan parti nanti.

Mengulas cadangan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail memansuhkan sayapsayap parti bagi menghapuskan gejala politik wang, Dr Rais berkata setiap cadangan untuk memperbaiki Umno pada ketika ini akan diambil kira, namun cadangan itu haruslah praktikal dan mendatangkan faedah.

"Jika didapati suara majoriti nanti bahawa sayapsayap tersebut sesungguhnya tidak mendatangkan faedah atau melemahkan perjuangan tentu MT akan buat keputusan itu.

"Pada masa ini memang kita menggalakkan semua pihak memberi pandangan tetapi kita jangan terlalu mabuk pandangan pada masa ini selain daripada menghapuskan rasuah dalam parti dan mengukuhkan Umno itu sendiri," katanya.BERNAMA

No comments:

Posting Terkini