Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz berkata beliau mahu peralihan kuasa dilakukan pada Jun tahun depan bukan kerana beliau ‘gila jawatan kabinet'.
Sebaliknya, kata beliau, ia bertujuan untuk memperkukuhkan kedudukan Wanita Umno dan Barisan Nasional (BN) selepas kalah teruk dalam pilihanraya umum Mac lalu.
"Saya mengekalkan peralihan kuasa pada Jun 2009 semata-mata untuk memperkuatkan Wanita umno, kerana kita mendapati, setelah kali teruk dalam pilihanraya umum lalu, Kekuatan Wanita Umno sudah terlalu berkurangan.
"Kelemahan wanita Umno telah menyebabkan kekalahan parti dalam pilihanraya umum lalu.
"Kalau orang kata, saya mengekalkan jawatan ketua semata-mata untuk mendapatkan jawatan kabinet, itu adalah kerja gila," katanya.
Sebelum itu beliau ditemui kira-kira 40 penyokongnya yang terdiri lima ketua Wanita Umno negeri, exco Wanita serta ketua-ketua Wanita bahagian dari seluruh negara.
Mereka menemuinya di pejabat Wanita Umno Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibunegara pagi tadi bagi menyatakan sokongan mereka terhadap keputusannya untuk mempertahankan jawatan ketua Wanita Mac depan.
Pemangku bukan perkara baru
Kelmarin, Naib Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengumumkan akan bertanding menentang Rafidah bagi merebut jawatan ketua pergerakan itu.
Menurut Rafidah lagi, beliau tidak faham mengapa Shahrizat mahu bertanding jawatan ketua Wanita sedangkan beliau (Shahrizat) sendiri telah setuju dari awal lagi mengenai penyerahan kuasa itu.
"Dalam mesyuarat Exco Wanita, Shahrizat tidak pernah bercakap yang beliau tidak setuju dengan pelan peraihan kuasa (Jun) itu, walaupun saya beri peluang kepada dia untuk bercakap mengenai ini, tapi beliau tidak cakap, tapi sebaliknya tetap setuju dengan peralihan kuasa.
"Saya hairan mengapa selepas pencalonan tamat, isu pemangku jawatan ketua Wanita dibangkitkan.
"Kalau tidak setuju dengan jawatan pemangku, mengapa tidak diberitahu atau dibangkitkan lebih awal," katanya.
Menurut Rafidah, jawatan pemangku ketua dalam Umno bukan perkara baru.
Utamakan pilihanraya
"Tun Hussein Onn menjadi pemangku presiden selama satu tahun 9 bulan, Datuk Seri Hishammuddin (Hussein) jadi pemangku ketua Pemuda selama dua tahun (dan), Datuk Seri Abdullah (Ahmad Badawi), juga jadi pemangku presiden Umno.
"Jadi jawatan pemangku tidak ada kurangnya. Kerja adalah sama, kalau pemangku ketua Wanita tidak ada kuasa, apa kuasa yang ada pada ketua wanita.
"Yang ada hanyalah kerja dan tanggungjawab. Tidak ada masalah pun walaupun menjadi pemangku kerana kita ada exco, kita ada ketua Wanita negeri, kita ada ketua bahagian Wanita.
"Boleh tanya (Datuk Seri) Hishammuddin apa rasanya menjadi pemangku ketua (Pemuda). Jadi tak usahlah pertikai jawatan sebagai pemangku.
"Yang paling penting (ialah) soal menghadapi pilihanraya umum ke-13... Tidak sanggup lagi kita hendak melihat kekalahan yang baru," tegas Rafidah.
Mengenai pertemuannya dengan penyokongnya hari ini, Rafidah berkata, mereka datang sendiri selepas mengetahui yang beliau akan mempertahankan jawatan ketua Wanita.
Mereka yang datang itu termasuk ketua Wanita dari lima negeri - Pulau Pinang, Johor, Pahang, Kelantan dan Selangor.
"Bukan saya panggil, mereka datang sendiri," katanya. -- Malaysiakini
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment