KUALA LUMPUR, 21 Okt -- Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini menegur beberapa anggota Parlimen yang cuba membuat keputusan sendiri tanpa mengendahkan kedudukan beliau.
"Kalau saya belum habis cakap, Yang Berhormat (anggota Parlimen) sudah menjerit dan memekik, macam mana saya nak buat keputusan. Anda jangan arahkan saya Yang Berhormat!" kata Wan Junaidi dengan nada tegas.
"Kita ini kawan baik dalam Dewan ini tetapi jangan bagi arahan kepada Speaker, itu yang utama. Kalau anda tak hormat dengan kedudukan Speaker...tak ada benda lagi yang yang boleh hormat dalam Dewan ini," tambah beliau sebelum meminta Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Panglima Lajim Ukin untuk menarik balik perkataan yang digunakannya.
Arahan itu dibuat selepas N. Gobalakrisnan (DAP-Padang Serai) mencelah jawapan yang diberikan oleh Lajim ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mat Sirat Abu (BN-Bukit Katil) mengenai permohonan kerajaan negeri Melaka untuk memohon memanjangkan landasan Lapangan Terbang Batu Berendam.
Wan Junaidi turut meminta semua anggota Parlimen supaya menghormati persidangan dan menunjukkan kematangan.
"Saya minta kita semua tunjukkan bahawa Ahli Parlimen adalah orang-orang yang bermaruah...yang matang. Saya rasa malu dan bimbang kalau kita tak jaga kehormatan Ahli Parlimen dan Parlimen ini sendiri. Jangan arah Speaker," katanya.
Pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat itu, Lajim berkata kerajaan boleh mempertimbangkan permohonan kerajaan negeri Melaka untuk memanjangkan landasan Lapangan Terbang Batu Berendam.
"Buat masa ini, tidak aktif, hanya satu sahaja penerbangan daripada Riau dan kelab penerbangan yang mengajar 400 penerbangan sebulan tetapi kalau sudah siap kemungkinan Air Asia berminat untuk terbang dan mereka juga saya fikir tidak memerlukan (pesawat) Airbus sebab kita lihat destinasi daripada Kuala Lumpur ke Melaka ini bukanlah jauh sangat.
"Kita akan pertimbangkan kalau hanya setakat RM40 juta. Janganlah katakan apabila Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan boleh buat lapangan terbang.
Kita buat lapangan terbang harga berbilion-bilion... di Kota Kinabalu RM1.5 bilion...," katanya.
Pada ketika itu, Gobalakrisnan mencelah dengan mengatakan: "Tapi lebih daripada setengah rasuah."
Tidak berpuas hati dengan celahan itu, Lajim berkata: "Itu saya tidak tahu... ada BPR (Badan Pencegah Rasuah). Kalau dulu ketua pembangkang jadi Menteri Kewangan, tak rasuahkah? Siapa yang jadi kaya? Kroni-kroni dulu. Anda baru dalam Parlimen, anda tidak tahu. Anda ikut belakang sahaja...anda ikut buntut sahaja anda mana tau..anda ikut buntut saja."
Perkataan "buntut" itu telah menjadi perkatan yang begitu sensitif kepada semua anggota Parlimen pembangkang.
Gobalakrisnan kemudian bingkas bangun dan meminta dibacakan peraturan dan meminta Lajim menarik balik perkataan yang dikatakan kesat itu.
Suasana di dalam Dewan Rakyat terus riuh-rendah dengan anggota Parlimen bertikam lidah tanpa mengendahkan teguran Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Selepas teguran itu, Lajim akhirnya menarik balik perkataan yang telah digunakannya.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment