PUTRAJAYA, 22 Okt -- Pengumuman mengenai penurunan harga barangan akan diadakan Jumaat ini sebagai menyahut gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahu supaya semua industri dan peniaga menterjemahkan penurunan harga komoditi dan minyak melalui mekanisme seumpamanya.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad berkata kementerian telah mengadakan perbincangan dengan semua hipermarket untuk tujuan itu dan sehingga kini, hanya satu syarikat yang bersetuju.
"Kita berharap keputusan itu akan disusuli oleh syarikat lain terutamanya dalam (industri) bahan makanan yang diperlukan isi rumah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri pertemuan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), industri dan media di kementeriannya di sini, Rabu.
Mengenai kekurangan bekalan makanan di kawasan luar bandar, Shahrir berkata kajian telah dilakukan di daerah Seberang Perai Utara di Pulau Pinang dan Pekan, Pahang untuk menambah baik sistem pengedaran.
"Kajian ini khusus untuk memastikan agar barang-barang utama dapat disampaikan tepat pada masa dengan harga munasabah. Ia berjaya dan saya akan membawanya kepada Kabinet untuk laporan," katanya.
Mengulas laporan berhubung tuntutan pampasan RM41 juta oleh 3,200 pengusaha stesen minyak seluruh negara terhadap Kementerian Kewangan, beliau memberitahu kerugian dalam perniagaan adalah satu risiko yang harus diambil kerana tidak ada perniagaan tidak berisiko.
Risiko dalam perniagaan, kata beliau tidak hanya mencakupi kerugian bahkan melibatkan masalah daripada segi permintaan, bekalan dan kewangan.
"Penurunan harga minyak pada 15 Okt lepas adalah disebabkan oleh penurunan mendadak di pasaran dunia, jika kerajaan tidak menurunkan harga runcit minyak, ia bererti kerajaan tidak menyampaikan faedah penurunan harga kepada rakyat, sekaligus tidak menepati janji yang dibuat," katanya.
Kesemua 3,200 pengusaha stesen minyak mendakwa kerugian sebanyak RM7,000 untuk setiap 10 sen harga minyak yang diturunkan kerajaan. Mereka turut mendesak agar kajian harga minyak dilakukan setiap bulan berbanding setiap dua minggu ketika ini.
Shahrir berkata penurunan harga bukanlah sesuatu yang mandatori walaupun kajian dilakukan setiap dua minggu.
"Walaupun kita kaji setiap 14 hari, tidak bermakna akan ada penurunan untuk tempoh itu. Kita kena lihat juga. Pada 15 Okt itu, kita menurunkan harga runcit kerana penurunan di pasaran dunia jelas dan mendadak," katanya.
Para pengusaha, kata beliau seharusnya tidak membuat pesanan bekalan minyak yang baru selagi stok minyak masih ada untuk mengelakkan kerugian lebih besar.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment