Pages

Thursday, October 16, 2008

Dr. Mahathir tidak puas hati penjelasan jual saham MV Agusta

TRONOH:Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata beliau masih tidak berpuas hati berhubung penjelasan mengenai keputusan melupuskan saham Proton dalam MV Agusta Motors Spa (MVAM) dibuat setelah pertimbangan terperinci dilakukan dan sekiranya tidak dijual, Proton perlu menanggung realisasi hutang yang dianggarkan melebihi RM1 bilion.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau sedar sebagai anggota kerajaan, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak perlu mempertahankan apa juga tindakan yang telah dilakukan oleh kerajaan.

"Tapi bagi saya, tidak ada rasional untuk jual barang yang kita beli pada harga ratusan juta hanya dengan harga 1 Euro.

Kalau siapa bagi tahu kat (kepada) saya dia untung, saya fikir dia patut periksa kesihatan mentalnya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan umum di Universiti Teknologi Petronas, di sini hari ini.

Bila diulangi bahawa justifikasi penjualan itu adalah untuk mengelak Proton daripada menanggung realisasi hutang melebihi RM1 bilion, Dr Mahathir berkata yang lebih penting ialah bagaimana pengurusan Proton mengurus apa yang telah mereka peroleh.

"Kalau kita tak tahu macam mana nak urus, maka kita akan rugi. Mengambil alih syarikat memang mudah, namun mengurusnya merupakan perkara berbeza. Kalau nak elak daripada rugi toksah (tidak usah) buat bisneslah," katanya.

Semalam, Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata keputusan tersebut diambil setelah mengambil kira hasil kajian semula pelaburan itu oleh konsortium penasihat seperti Credit Suisse First Boston dan beberapa syarikat guaman dari Itali yang mendapati model perniagaan MVAM tidak boleh dikekalkan dari segi operasi dan kewangan. BERNAMA

No comments:

Posting Terkini