SEMEJA... Tun Dr. Mahathir Mohamad (tengah, duduk) bersama Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak (kanan) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika hadir pada majlis rumah terbuka Aidilfitri bekas Penolong Setiausaha Pemuda Umno, Datuk Abdul Rauf Yusoh do Hulu Klang, Kuala Lumpur malam kelmarin.KUALA LUMPUR Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan cakap-cakap bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah perancang utama dalam meningkatkan popularitinya dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pemimpin masa depan negara.
"Saya tidak fikir anda perlu dalam apa cara pun keliru kerana anda lihat kami bersama (dengan Mahathir).
"Pada hakikatnya kami bertemu dalam sesetengah majlis tidak bermakna ada perkembangan besar berlaku," kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu selepas Mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan dan Pelaburan Bersama MalaysiaIndonesia pertama di sini semalam.
Muhyiddin berkata demikian ketika ditanya sama ada Dr. Mahathir, bekas Perdana Menteri, ada peranan untuk menentukan pemimpin masa depan negara.
"Beliau (Mahathir) masih lagi dihormati sebagai negarawan veteran Malaysia. Anda juga mempunyai penghormatan tinggi terhadap beliau.
"Saya tidak fikir kita boleh nafikan hakikat ini. Tetapi sejauh mana beliau telah mempengaruhi dalam aspek pentadbiran, saya fikir ini adalah sesuatu yang Datuk Najib sepatutnya mampu untuk uruskan," kata beliau.
Katanya, Najib mempunyai semua pengalaman dalam pengurusan negara dan telah berkhidmat dengan kabinet sebelum ini dengan Dr Mahathir.
"Saya juga ada dalam Kabinet lama dan Kabinet sekarang. Saya fikir ia adalah campuran pengalaman lama, yang saya fikir sangat penting," kata beliau.
Sementara itu, pada majlis Hari Raya Puteri Umno di sini semalam, Muhyiddin yang juga Naib Presiden Umno berkata, pengalaman dan kewibawaan seseorang pemimpin menjadi kriteria utama bagi dicalonkan untuk jawatan tertinggi parti itu dan bukannya kerana faktor umur.
"Mereka (anggota Umno di peringkat bahagian) ada pengalaman dan pengetahuan serta tahu menilai pemimpin yang ingin dicalonkan.
"Pengalaman adalah penting dari sudut parti dan kerajaan, manakala sejarah dan kewibawaan serta kecekapan calon juga diambil kira," katanya diminta mengulas kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin bahawa umur adalah antara faktor seseorang pemimpin Umno dicalonkan ke jawatan tertinggi parti.
Muhyiddin berkata: "Kadang-kadang yang muda pun ada pengalaman dan semua perkara diambil kira. Selagi sihat, tajam fikiran dan boleh memikul amanah seseorang itu layak dicalonkan."
BERNAMA
No comments:
Post a Comment